Pun begitu wanita berusia 32 tahun ini tidak berhasrat untuk bergelar sebahagian barisan pelakon Adiwiraku 2 yang bakal memulakan penggambaran pada cuti persekolahan.

Bagaimanapun dia sudah mengesahkan kedudukannya yang hanya akan terlibat di belakang tabir atau lebih tepat lagi bergelar produser.

Jelas pelakon drama Jibril itu lagi, dia sedikit pun tidak berasa ralat membuat keputusan itu memandangkan ini peluang terbaik untuk dia menimba pengalaman baru.

“Saya tidak akan berlakon dalam Adiwiraku 2. Saya fikir ini adalah waktu yang tepat untuk mencari ilmu dan pengalaman dengan pengarah serta penerbit asalnya iaitu Jason Chong dan Eric Ong.

SANGEETA KRISHASAMY

“Jujurnya bukan mudah untuk saya buat keputusan menarik diri daripada membintangi filem ini, namun tetap gembira kerana masih diberi peluang untuk menyumbang untuk sekuel kedua nanti.

“Waktu pertama kali dapat skrip Adiwiraku dulu, saya dapat rasa karya ini sangat jujur dan boleh dikatakan antara yang terbaik pernah saya lakonkan sepanjang 10 tahun aktif dalam karier seni,” tuturnya ketika ditemui baru-baru ini.

Berkongsi lebih lanjut tentang Adiwiraku 2, jelas Sangeeta lagi, dia tidak melihat filem yang akan menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun ini adalah kesinambungan filem terdahulu.

Menurutnya, kisah yang mengangkat tentang latar sebenar seorang guru sukan yang dikenali sebagai Cikgu Azman.

Menggambarkan mengenai plot penceritaan naskhah kali ini lebih menyentuh perasaan hingga membuatkan dia mengalir air mata ketika membaca skrip berkenaan.

“Saya bercadang untuk berjumpa dengan Cikgu Azman yang mengajar di sebuah sekolah di Gemencheh, Negeri Sembilan untuk lebih mendekati karakter sebenarnya kemudian baharulah memilih pelakon yang sesuai serta menepati ciri-ciri watak tersebut.

“Untuk mencari pelakon dalam kalangan budak sekolah, kita akan mencari dari kampung asal kerana ia akan nampak lebih asli dan’ hidup’ sama juga dengan filem sebelum ini.

“ Jika digali lebih mendalam, banyak cerita-cerita tempatan yang ada nilai inspirasi boleh dipaparkan ke dalam filem. Ini yang kami sedang cuba buat untuk memberi kesan positif pada masyarakat,” ujarnya yang bersedia untuk berlakon semula dalam Adiwiraku 3.

Sementelah itu, Sangeeta menyimpan hasrat untuk menyajikan kisah Cikgu Cheryl menerusi siri televisyen satu hari nanti.

Ini kerana terlalu banyak maklum balas yang diterima bertanyakan tentang kesinambungan watak tersebut.

“Saya rasa lebih sesuai untuk ditayangkan dalam slot drama bersiri. Tidak mungkin dalam filem lagi.

“Ramai yang tidak puas menonton kisah Cikgu Cheryl setelah filem itu tamat. Rata-rata bertanyakan hal sama, bilakah kisah guru Bahasa Inggeris itu akan ditayangkan lagi.

“Pihak produksi telah memberi keputusan muktamad untuk tidak ditayangkan dalam naskhah layar lebar sebaliknya akan ditonton oleh peminat cerita tempatan menerusi televisyen,” ungkapnya yang mahu memfokuskan laluannya kepada pembikinan Adiwiraku 2 terlebih dahulu.