Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tohmahan terbesar

Fitnahlah apa sekalipun, Akim Ahmad tetap reda dan berharap tahun 2015 mendatangkan tuah

Akim Ahmad and The Magistrate pemenang anugerah Persembahan Vokal 3
Akim Ahmad and The Magistrate pemenang anugerah Persembahan Vokal Terbaik di dalam Lagu (Lelaki) pada Anugerah Industri Muzik 21 (AIM 21), baru-baru ini.

MEWANGI, tajuk lagu ciptaan penyanyi dan komposer muda, Akim Ahmad kini mula menjadi kegilaan pencinta muzik tanah air.

Bergandingan dengan sebuah band yang digelar The Magistrate, taruhannya menerusi single sulung bersama kumpulan tersebut dilihat cemerlang sehingga menjadi siulan anak muda.

Apatah lagi, bermodalkan lagu yang sama, tuah Akim berlanjutan apabila dia dinobatkan sebagai penerima trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik Ke-21 (AIM21) yang berlangsung awal bulan ini.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan peribadinya itu, ada segelintir peminat yang kecewa setelah single berkenaan gagal mendapat tempat di peringkat akhir sebuah pertandingan lagu yang bakal diadakan tahun hadapan.

Lebih teruk, ada kata-kata pedih dilemparkan terhadap penyanyi yang lahir daripada program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh itu.

Tuduhan mengatakan dia lalok ketika mengadakan persembahan di peringkat separuh akhir, sekali gus menutup peluangnya beraksi di pentas akhir begitu berat untuk diterimanya.

Berkesempatan bertemu dengannya dalam satu majlis anugerah baru-baru ini, Mega cuba menyelami isi hari jejaka berusia 23 tahun itu. Tidak kiralah itu satu pengalaman manis mahupun pahit untuk ditelan.

Membuka bicara, Akim diminta memberikan komen terhadap fitnah yang dihamburkan setelah berjaya menggenggam trofi vokal terbaik pada malam itu.

Menurut anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu, dituduh lalok atas pengambilan najis dadah merupakan tohmahan terbesar yang pernah dilemparkan kepada dirinya.

“Ia sesuatu yang sangat tidak berasas. Jika benar saya melakukan perbuatan terkutuk itu, pastinya saya mengecewakan kedua-dua ibu bapa saya. Kejadian yang langsung tidak pernah terlintas untuk saya lakukan.

“Saya pun tidak faham kenapa sampai macam tu sekali mereka mahu fitnah saya. Takkan disebabkan karakter saya yang gila-gila, langsung saya dihukum dengan tuduhan sebegitu? Gaya yang dipersembahkan menerusi persembahan lagu tersebut adalah cara saya yang tidak perlu dipertikai atau disalah erti. Janganlah semberono menuduh hanya berdasarkan gaya saya. Sangat tidak adil,” katanya dalam nada geram dan kecewa diperlakukan sebegitu.

Apapun, Akim berdoa agar dijauhkan dengan segala rasa dengki dan iri hati manusia yang berada di sekelilingnya dan berharap supaya pada 2015, dia terhindar daripada sebarang kontroversi serius.

Gambar FAISOL MUSTAFA Rekabentuk MAstika mohamed

Di sebalik kesibukannya menjayakan banyak persembahan pentas, hakikatnya Akim terpaksa menolak beberapa tawaran yang memerlukannya menaiki kapal terbang.

Menurut jejaka yang kini semakin rancak berlakon itu, dirinya takut tatkala mengikuti sesebuah penerbangan lalu membuatkannya fobia untuk menaiki pesawat.

Tidak pasti mengapa dia berasa demikian, tambah Akim setiap kali menaiki kapal terbang, bermacam-macam perkara negatif mula bermain di kotak fikirannya.

Apatah lagi bayangan pelbagai nahas udara yang pernah disaksikan di dalam filem amat mempengaruhinya ketika berada dalam pesawat.

“Kali terakhir saya menaiki pesawat adalah ketika menjayakan penggambaran program Fear Factor dua tahun lalu di Capetown, Afrika. Selama 17 jam tempoh penerbangan, saya rasa begitu gelisah.

“Saya cuba tidur untuk mengelak daripada berfikir bukan-bukan tetapi hanya dapat lelapkan mata sekejap sahaja disebabkan rasa takut yang amat sangat,” ceritanya.

Andai ada tawaran persembahan di Sabah dan Sarawak, ujar Akim, dia terpaksa menolak permintaan penganjur dengan menjelaskan keadaan sebenar.

“Setakat di Semenanjung, saya sanggup memandu walaupun jauh. Biarlah, asalkan tidak menaiki pesawat,” katanya.

Berbicara mengenai single Mewangi yang mendatangkan tuah buatnya pada tahun ini, Akim tidak pernah menjangkakan dirinya dapat membawa pulang trofi penghargaan AIM21 yang berlangsung pada 6 Disember lalu.

Katanya, cara nyanyian dan lontaran vokal seseorang penyanyi dalam menyampaikan sesebuah lagu adalah perkara yang sangat subjektif untuk dibincangkan.

“Ini adalah kejayaan terbesar saya sepanjang menceburi bidang nyanyian. Saya sungguh tidak menjangka rezeki berpihak kepada saya. Saya sangat bersyukur atas pengiktirafan ini dan menyifatkan trofi yang saya bawa pulang ini sebagai salah satu pemangkin untuk saya bekerja dengan lebih keras pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Akim yang kini tampil bersama The Magistrate berkata, kerjaya seninya selepas ini akan tertumpu dalam pembikinan produk bersama kumpulan tersebut.

“Saya akan berehat seketika selaku penyanyi solo dan memberi sepenuh tumpuan untuk menyiapkan album Akim And The Magistrate. Pada peringkat ini, kami sedang bereksperimen dengan beberapa buah lagu sebelum keluar dengan single kedua pada awal tahun hadapan.

“Pastinya, antara Akim Ahmad dan Akim And The Magistrate, kedua-duanya mempunyai perbezaan dan identiti tersendiri. Saya tidak mahu nanti wujud kekeliruan dalam kalangan peminat untuk membezakan dua identiti tersebut.

“Sebagai penyanyi solo, saya lebih terarah untuk menghasilkan muzik berentak lebih perlahan dan mendayu-dayu. Namun menerusi kumpulan ini, muzik yang dipersembahkan lebih rancak dengan komposisi muzik yang diketuai oleh Zimi Sofazr.

“Zimi bertindak selaku individu yang bertanggungjawab membuat susunan muzik, tetapi memberi kebebasan buat saya untuk menghasilkan lagu bersesuaian dengan vokal,” jelasnya memberi penerangan.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan