Teraju utamaya, Luqman Hafidz, 27, usai pementasan berkata, dia amat terharu dengan sokongan yang telah diberikan peminat terhadap kemunculan pertamanya di pentas teater.

“Melihat penonton berdiri sambil memberikan tepukan gemuruh, ternyata saya tidak mampu menahan sebak lalu mengalirkan air mata.

“Saya rasa puas dengan penat lelah menggembleng kudrat dan keringat setelah lebih enam bulan mengadakan latihan intensif.

“Apapun, masih ada kekurangan yang perlu saya baiki dari semasa ke semasa,” katanya yang ditemui sejurus tamat mempersembahkan teater muzikal julung kali arahan Puan Seri Tiara Jacquelina itu.

Mengulas lebih lanjut, Luqman yang merupakan pelakon asal filem OlaBola menjelaskan, masih terlalu awal untuk dia berpuas hati kerana pementasan tersebut berlangsung kira-kira sebulan lamanya.

Dalam pada itu, selaku seorang yang pernah pemain atlet bola sepak, Luqman tidak menganggap lakonan sebagai atlet sukan itu sesuatu yang mudah.

“Bermain di atas padang jauh bezanya dengan bermain di atas pentas yang terhad. Mujur Tiara selaku pengarah ada pasukan produksi yang kreatif untuk merealisasikannya di ruang terhad.

“Watak Ali yang dibawakan ada nilai sentimental kepada saya kerana itulah peranan pertama digalas sebagai pelakon. Jadi, saya perlu kekalkan momentum di layar perak untuk pementasan ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE