Menurutnya, tempoh tiga bulan pertama selepas perceraian merupakan fasa paling sukar untuk diharunginya memandangkan selama sembilan tahun terbiasa dengan kehidupan berumah tangga.

“Tiga bulan saya rasa tak tentu arah, duduk sendirian dalam rumah sambil fikiran melayang entah ke mana. Banyak kerja tertangguh sampaikan nak urus diri sendiri pun tak berdaya.

“Sehinggakan penerbit Sheila Rusly bertanyakan kepada saya, ke mana hilangnya Cat Farish setelah melihat saya datang ke set penggambaran dramanya dalam keadaan yang sangat selekeh,” katanya.

Bagaimanapun, Cat bersyukur, berkat kata-kata nasihat yang diberikan oleh rakan baik serta bekas isteri termasuk memikirkan nasib anak-anak, semangatnya beransur pulih.

Kini selepas menyifatkan dia sudah boleh menerima hakikat, Cat membiarkan dirinya sibuk dengan pelbagai aktiviti seni seperti menghasilkan single baharu berjudul Seram Dik Seram.

“Single ini adalah lagu tema drama Misteri Wan Peah siaran TV3 lakonan saya. Dalam lagu ini, saya bergandingan dengan seorang lagi penyanyi iaitu Eddie,” tambahnya.

Berkongsi hidup dengan Hartiny, bekas ahli kumpulan Ruffedge itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Nia Karlyssa, 10; Eva Latheefa, 7; dan Qul Iskandar, 6. - UTUSAN ONLINE