“Saya tidak ada masalah untuk melakonkan watak-watak sebegitu kerana pusing mana pun (dalam industri) genrenya sama iaitu cinta, hantu dan sebagainya.

“Bagaimanapun kebijaksanaan pengarah dan penulis skrip dan lakon layar dalam mengetengahkan watak dan jalan cerita memainkan peranan penting dan utama demi memastikan dan mengelakkan kisah cinta ini nampak sama,” jelasnya.

Tidak menolak untuk menerima watak romantis dalam drama, bagaimanapun jelas Syamsul ketika ini ada syarat yang perlu dia nyatakan.

“Saya hormat pengarah tetapi saya ada permintaan untuk tidak ada melakukan adegan melibatkan memegang wanita.

“Kalau ada yang boleh terima syarat itu saya akan terima tawaran tersebut. Tetapi jika sebaliknya, saya juga perlu menghormati keputusan itu.

“Misalnya dalam filem Makrifat Cinta lakonan terkini saya yang akan ditayangkan 1 Februari kelak, saya juga amat berterima kasih kerana pengarah sangat membantu apabila menggunakan orang lain dalam melakonkan watak yang memerlukan saya memegang rakan lakon saya, Nora Danish,” ujarnya.

Mempunyai sentuhan magis dalam setiap filem arahannya, bagaimanapun sehingga hari ini ramai peminat yang tertanya-tanya sama ada suatu hari nanti Syamsul akan memilih genre romantik untuk filem arahannya.

Tidak melihat ini sebagai suatu permintaan yang mustahil cuma katanya sehingga kini dia masih belum berkesempatan untuk mengarah filem romantik.

“Memang ada impian untuk mengarahkan filem romantis suatu hari nanti malah sudah beberapa idea yang terlintas pada fikiran saya filem romantis pertama arahan saya itu.

“Bagaimanapun buat masa ini saya masih belum ada kesempatan untuk menyiapkannya,” ujarnya. - Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH