Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana filem tersebut bukan sebuah filem sejarah sebaliknya dihasilkan hanya mengambil aspirasi daripada ke­gemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Jelas Khairy, perkara tersebut juga telah diberitahu kepada khalayak oleh pihak terlibat sejak awal pembikinannya.

“Saya rasa tidak perlulah (saman) sebab Ola Bola bukan satu filem yang dihasilkan dengan menepati fakta sejarah sebaliknya hanya mengambil aspirasi daripada peristiwa sebenar. Dalam istilah filem, apabila kata aspirasi tidak semestinya (menceritakan sepenuhnya) 100 peratus sejarah yang berlaku.

“Kalau tidak sudah tentu mereka guna nama-nama sebenar. Pada saya ini pertikaian yang tidak perlu dilayan,” katanya pada sidang akhbar selepas melepaskan peserta kayuhan Le Tour De Langkawi bagi saingan peringkat kelima di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya Datuk M. Saravanan dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Khairy berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, yang menyatakan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penerbit Ola Bola selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa bekas pemain lain,

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya tidak perlu campur tangan dalam pertikaian berkenaan kerana perkara tersebut telah jelas.

“Cuma saya bagi nasihat ini kerana lihat sambutan peminat bola dan masyarakat biasa terhadap filem ini sangat-sangat baik,” katanya.