Berkongsi proses kehamilan yang dilaluinya, ternyata isteri kepada aktor Shaheizy Sam, 35, itu rasa bertuah kerana tidak berhadapan dengan sebarang alahan atau permasalahan lain seperti lazim dialami ibu mengandung.

“Alhamdulillah, sepanjang hampir tujuh bulan saya hamil, tak ada pun mengidam makanan pelik-pelik. Cuma nafsu makan itu tak dinafikan naik mendadak dan saya rasa itu normal.

“Boleh kata kejap-kejap rasa nak makan. Cukup sekadar menjamah sesuap dua, lepas itu kenyang. Bakinya, Sam yang habiskan. Itu sajalah fiil kalau nak kata pelik pun, yang lain macam biasa,” ujar wanita tinggi lampai itu.

Bakal bersalin pada Mei ini, Syatilla Melvin mahu mengasuh anaknya
Bakal bersalin pada Mei ini, Syatilla
Melvin mahu mengasuh anaknya sendiri.

Bagaimanapun ujarnya, memasuki trimester terakhir, Syatilla dapat rasakan dia mudah penat walaupun sekadar melakukan kerja-kerja ringan. Oleh itu, kebelakangan ini dia banyak menghabiskan masa di rumah menonton televisyen atau pun tidur.

Bercerita lanjut tentang kandungannya, Syatilla teruja memberitahu bahawa jantina bayi yang dikandungnya adalah lelaki, sekali gus memenuhi hasratnya dan Sam untuk menimang cahaya mata sulung.

“Masa awal hamil dulu, seboleh-bolehnya kami memang mahukan anak lelaki, sesuai sebagai ketua keluarga. Alhamdulillah, selepas beberapa kali membuat pemeriksaan ketika usia kandungan empat bulan, doktor sahkan jantinanya adalah seperti yang kami inginkan.

“Jadi persiapan untuk menyambut kelahirannya kelak sudah dibuat secara sederhana. Cuma kami tak beli baju baharu, hanya gunakan semula baju anak buah yang diberikan kakak saya.

“Maklumlah, bayi baru lahir selalunya cepat membesar. Sebab itu kami kitar semula baju anak-anak buah yang ada, tak membazir,” ujar adik kepada bekas personaliti TV9, Datin Syafiqa Melvin itu.

Menambah tentang persiapannya, Syatilla telah bersedia untuk menjadi ibu sepenuh masa membesarkan anaknya kelak tanpa mengharapkan bantuan orang gaji atau pengasuh.

“Berdasarkan pengalaman melihat anak-anak kawan yang dijaga pengasuh, saya takut jika mereka mengasari anak saya kelak.

“Kadang-kadang rasa geram tengok cara pengasuh mendukung anak kecil. Mereka agak kasar,” tuturnya meluahkan rasa ketidakpuasan hati.

Oleh itu, Syatilla tidak meletak kepercayaan untuk mengambil pengasuh menjaga anaknya. Jika ada waktu kecemasan sekalipun, dia boleh mengharapkan ibu mentuanya yang tinggal bersebelahan rumahnya.