Masakan tidak, setiap produksi membabitkan Elizad yang ditayangkan di kaca televisyen pasti menarik minat banyak pihak terutama peminat.

Biarpun berdepan dengan suara-suara sumbang segelintir pihak yang kurang senang dengan lakonannya namun Elizad tetap optimis terhadap hal tersebut.

Ini kerana Elizad percaya yang perlu diperkukuhkan adalah namanya agar kemunculan pada setiap naskhah yang dijayakan mampu memaku perhatian peminat untuk terus mengikuti perkembangan kerjayanya.

Justeru tidak hairanlah jika Elizad terus komited mempamerkan bakat yang dianugerahkan kepadanya untuk terus bertahan dalam industri lakonan tempatan.

"Yang penting dalam perjalanan kerjaya saya adalah keikhlasan. Saya melakukan setiap tugasan yang diberi dengan sepenuh jiwa.

“Saya mengkaji setiap karektor yang diberikan dengan sedalam-dalamnya. Cari maklumat dan bahasa tubuh yang bersesuaian untuk menjayakan watak tertentu.

“Itu saja yang menjadi amalan saya sepanjang bekerja,” kata Elizad yang semakin dikenali selepas popular dengan drama Teman Lelaki Upahan tahun lalu.

Biarpun terkenal dengan watak serius yang bermain dengan emosi dalaman namun Elizad sentiasa memastikan mutu lakonannya pelbagai pada setiap naskhah yang dijayakan.

Pemegang watak utama drama Lambaian Ramadan yang ditayangkan di televisyen dua bulan lalu ini mengakui sentiasa memastikan lakonannya benar-benar berkesan di hati penonton.

Mementingkan reaksi wajah yang bersesuaian untuk menjayakan watak, Elizad percaya cara itu lebih menjamin kemantapan lakonannya.

“Saya berlakon kerana kerjaya ini adalah minat utama saya. Tak dapat trofi anugerah sebagai pelakon wanita terbaik pun tak apa.

“Saya memang tak kisah dengan ganjaran. Yang menjadi keutamaan saya adalah pengisian yang saya berikan pada setiap naskhah yang dijayakan.

“Saya lebih suka kalau setiap drama lakonan saya memberikan kepuasan kepada penonton dan memberi maklum balas memberansangkan demi kelangsungan kerjaya saya.

“Rasa bahagia sangat dan itu juga yang membuatkan saya semakin bersemangat untuk terus berkarya pada masa depan,” kongsi Elizad.

Berhubung tawaran lakonan yang tidak pernah putus, Elizad bersyukur kerana kehadirannya dalam industri lakonan mendapat perhatian.

Walaupun tiada masa untuk keluarga dan diri sendiri, Elizad tidak pernah mengeluh dengan pilihan yang dibuat.

Mengikut saja arus kehidupan, Elizad juga tidak menyasarkan tempoh tertentu untuk menjadi seorang pelakon serba boleh.

Yang penting adalah membuktikan kemampuan diri sebagai pelakon hebat dan mengetepikan persepsi serong segelintir pihak terhadap kerjaya dalam bidang seni.

“Yang penonton nampak di kaca televisyen adalah hasil kerja seseorang pelakon. Kalau bagus, orang akan memuji dan begitu juga sebaliknya.

“Saya juga tidak terkecuali. Cuma di sini saya hanya menjaga kualiti pada setiap lakonan saya. Kena lebih sensitif dan peka dengan keadaan sekeliling,” katanya lagi.

Prihatin

DALAM usaha untuk mempelbagaikan watak, Elizad juga ditegur apabila ada pihak yang kurang senang melihat lakonannya bergandingan dengan Amar Baharin yang dilihat berlebih-lebihan.

Menjayakan watak sebagai pasangan suami dalam drama Si Kolot Suamiku yang ditayangkan baru-baru ini, status Elizad sebagai isteri orang juga diperkatakan.

Lebih-lebih lagi menjayakan watak suami isteri di atas katil namun Elizad sentiasa bersikap terbuka pada setiap respons daripada peminat.

“Saya bertuah kerana suami, Shamsul Baharin Rahman bukan seorang yang cepat melatah apabila isterinya ditimpa dengan cerita gosip sebaliknya banyak menyokong kerjaya saya.

“Sebelum saya bersetuju menerima tawaran tersebut, awal-awal lagi saya sudah memaklumkan kepada suami tentang keseluruhan jalan cerita drama itu.

“Jadi tidak timbul soal cemburu kerana suami tahu saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai pelakon.

“Cuma lain kali saya perlu lebih berhati-hati dengan sensitiviti masyarakat kita yang prihatin dengan soal status seseorang artis terutama dalam membawakan watak mesra suami isteri,” katanya yang gembira kerana berjaya memberikan kelainan dalam perjalanan kerjayanya melalui wataknya dalam naskhah Si Kolot Suamiku.

Ini sekali gus memberikan perangsang buat Elizad untuk lebih menerokai watak sebegitu pada masa depan.

“Saya juga teringin nak melakonkan watak perempuan gila yang banyak bermain dengan emosi dalaman,” ujarnya yang turut mengidam untuk berlakon di bawah arahan Micheal Ang satu hari nanti.

Terkini, Elizad terikat syarikat Global Station Sdn. Bhd. bagi menjayakan drama bersiri Papa Ricky yang penggambarannya berakhir April tahun depan.