Tidak mahu terlalu lama berehat, Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 38, kembali memeriahkan industri seni pada tahun ini dengan beberapa drama bersiri dan filem.

Menurut anak kelahiran Raub, Pahang ini, tawaran yang tidak putus-putus serta kerinduan terhadap kerja lakonan menguatkan semangatnya untuk terus memegang gelaran anak seni.

“Setahun lalu apabila berjumpa dengan peminat mereka pasti bertanya adakah saya sudah berhenti berlakon.

“Ini kerana banyak tawaran yang terpaksa saya tolak sepanjang komitmen dengan Pelancongan Pahang. Antaranya tiga buah filem dan beberapa drama bersiri.

“Dalam hal ini, saya tidak mahu menyusahkan orang. Jika saya bersetuju untuk menerima tawaran lakonan ketika itu, saya perlu memberikan masa yang sesuai dengan jadual saya.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, mengubah jadual penggambaran semata-mata untuk mengikut masa saya pastinya akan menelan kos. Jadi untuk mengelak hal tersebut terjadi, sebaik-baiknya saya menolak tawaran tersebut.

“Namun setahun saya berehat daripada lakonan bukan bermakna saya hilang. Alhamdulillah, tahun ini tidak putus-putus rezeki datang. Sekarang ini saya sedang menyiapkan penggambaran filem Munafik 2.

“Pada masa yang sama, saya juga terlibat dalam drama bagi slot Akasia untuk Ramadan ini, Ku Kirim Cinta,” ujarnya yang ditemui dalam majlis tayangan perdana filem Hospital di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Meskipun hanya setahun tidak terlibat dalam dunia lakonan, kemunculan pelakon baharu bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng. Ditanya mengenai situasi tersebut, suami kepada pelakon, Almy Nadia ini memandang dari sudut positif.

“Saya tidak gentar dengan keadaan itu kerana saya telah memberikan naskhah yang terbaik untuk peminat saya.

“Walaupun beberapa filem lakonan saya sudah lama berlalu, watak dan ceritanya sampai sekarang orang masih ingat. Kalau saya berjumpa peminat, mereka sering bercerita mengenai filem-filem tersebut.

“Perkara itulah yang kita perlukan dalam industri. Jika disuruh saya berlakon filem, sebulan sekali pun saya boleh lakukannya. Tetapi apa hasilnya? Setakat untuk melepaskan batuk di tangga atau sekadar mencari populariti, saya rasa itu masih belum cukup.

“Soal terjejas atau tidak dengan kemunculan bakat baharu, itu atas diri masing-masing. Bagi saya, mungkin apabila pelakon lama kembali berlakon, pelakon-pelakon baharu akan rasa ini bukan masa untuk main-main,” jelasnya.

Bercerita mengenai kemunculan semulanya, Fizz tidak menafikan terselit rasa gementar tatkala kembali memasuki set penggambaran.

“Ya, setahun saya tidak berlakon, apabila kena masuk set penggambaran drama cinta, saya jadi kaku dan sukar untuk menghayati watak sampai ada pengarah pesan supaya saya jangan keras sangat.

“Dalam hal ini, saya perlu ambil masa untuk kembalikan perasaan tersebut serta saya harus memotivasikan diri dan untuk mengembalikan rasa untuk menjayakan watak yang diberikan.

“Mungkin juga saya akan memasuki kelas lakonan lagi,” akhirinya.