Mengakui sudah penat dengan kata-kata orang yang menuduhnya pura-pura bahagia dalam melayari kehidupan bersama suami yang mesra dipanggil Tok Ram, penyanyi lagu Sesal Separuh Nyawa, Alyah, 37, tahu ada mata yang memerhati setiap langkah yang diambilnya.

Malah lebih jauh dari itu, setiap kali Alyah cuba mencurah rasa dalam media sosial, ada yang berani mendesaknya supaya berpisah sahaja dengan suaminya.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan sedar akan hakikat hubungan dalam perkahwinan bukan seperti sebuah kisah dongeng yang pasti berakhir dengan kebahagiaan. Resam orang berkahwin ada pasang surutnya. Sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri.

“Dalam perkahwinan, hari ini kita okay tapi minggu depan kita tak tahu apa yang akan jadi. Sepanjang tempoh ini menjadikan saya seorang yang lebih cool dan bersedia hadapi apa sahaja naik turun dalam hubungan kami.

“Saya juga percaya kebahagiaan bukan diukur dengan posting yang manis-manis atau swafoto berdua yang kerap dipaparkan dalam laman sosial. Untuk orang lain mungkin ya, tetapi untuk kami bukan dengan cara sebegitu.

“Perbezaan usia saya dan Tok Ram hampir 20 tahun. Saya akui banyak ketidakserasian dalam pelbagai perkara. Tetapi sekalipun tidak serasi, perceraian bukanlah penghujung kepada penyelesaian.

“Tidak pernah terlintas langsung untuk berpisah. Saya tidak berkahwin untuk bercerai. Lebih menyedihkan bila kadang-kadang orang lain pula yang buat keputusan untuk kita sedangkan saya tak pernah terima perkahwinan itu untuk berpisah,” katanya.

Alyah sedar tidak mungkin dia atau sesiapa jua boleh menjangka apa yang bakal terjadi dalam setiap langkah yang diambil, lebih-lebih soal perkahwinan.

“Kita tak boleh jangka apa yang akan berlaku dalam kehidupan kita. Dalam konteks suami isteri, bila-bila masa saja masing-masing boleh buat silap dan apa yang saya belajar selama ini, kita kena banyak bersabar dan perbaiki kesilapan.

“Suami isteri berselisih faham itu biasa. Bukan saya saja, pasangan lain pun sama. Tok Ram pun tidak pernah naik kaki tangan, jadi apabila keluar dalam media saya dan suami bergaduh, ia sebenarnya tidaklah seteruk mana seperti apa yang warganet fikirkan.

“Dalam setahun mesti ada satu hari yang malang terjadi pada kita. Kita tak nak, tapi kadang-kadang nasib tak baik ini tak boleh dijangka.

“Saya dididik oleh emak dan arwah ayah untuk tidak terlalu mengharapkan sesuatu yang lebih kepada manusia kerana itu adalah perkara yang sangat mustahil,” luahnya panjang lebar.

Menurut Alyah, sebelum ini dia terlalu mendengar cakap orang, selalu membandingkan apa yang orang lain buat dengan apa yang dia sendiri lalui.

“Akibat terlalu memikirkan persepsi orang dan mahu memuaskan hati ramai pihak, saya salahkan perhubungan saya sendiri sedangkan apa yang saya lalui itu tidaklah segetir mana kalau nak bandingkan dengan apa yang emak saya pernah tempuhi selama ini.

“Emak saya selalu kena tinggal dengan arwah ayah yang bertugas sebagai kelasi kapal. Berbulan-bulan jaga 12 orang anak, tapi dia mampu buat semua itu seorang diri. Apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan saya yang hanya perlu jaga seorang suami?

“Selama lima tahun bergelar isteri kepada Tok Ram, banyak yang saya belajar terutama menjadi seorang yang sabar dan menghargai orang di sekeliling.

“Selagi bernafas dan diberi waktu untuk betulkan segala kesilapan yang saya lakukan, itulah kebahagiaan sebenar saya,” kongsi Alyah.

Doa dan usaha tak pernah putus

Ibarat sudah lali menjawab pertanyaan tentang zuriat biarpun kadang kala mengguris perasaannya, Alyah tenang menyerahkan soal anak kepada Yang Maha Esa.

Alyah yakin pasti ada sebab dan hikmahnya kenapa rezeki yang satu itu belum sampai lagi. Dia tahu Allah bukan tidak mahu menunaikan impian yang satu itu, cuma mungkin masanya belum sesuai. Barangkali juga Allah mahu berikan yang terbaik untuknya.

“Siapa kahwin tak nak anak. Saya usaha dengan cara saya sendiri. Doa itu Allah saja yang tahu, tak pernah putus. Itulah yang saya buat sekarang.

“Saya ada berjumpa doktor untuk dapatkan gambaran jelas tentang kaedah persenyawaan in vitro (IVF). Untuk betul-betul fokus pada IVF bukan mudah memandangkan saya ada komitmen yang perlu diselesaikan dahulu.

“Tambahan pula saya ada sejenis penyakit yang dipanggil jangkitan saluran kencing atau Urinary Tract Infection (UTI) yang menyebabkan saya sukar untuk hamil secara normal dan perlu kaedah IVF.

“Kalau saya nak buat IVF pula kena hentikan semua aktiviti seni dan fokus 100 peratus pada rawatan tersebut. Tapi tak adalah sebab kekangan kerja saya tak nak anak. Hujung tahun depan bila semua perkara sudah selesai, insya-Allah saya akan fikirkan untuk buat rawatan itu.

“Allah bersifat pengasih kepada orang yang berusaha. Dia tahu apa yang terbaik cuma jangan putus berdoa,” ujarnya optimis.

Ditanya tentang kesediaan Tok Ram untuk bersama memberi sokongan bagi menjalani kaedah tersebut, Alyah bersyukur kerana suaminya bersikap terbuka tentang soal zuriat.

“Dia menyerahkan sepenuhnya pada saya, cuma pesannya agar saya tidak terlalu memikirkan apa orang kata sehingga memakan diri. Banyak kali dia cakap, tak nak tengok saya sakit semata-mata nak puaskan hati orang.

“Tapi bila tengok cara Tok Ram layan anak buah saya, Aqqil dengan penuh kasih sayang dan jaga macam anak sendiri, saya yakin masih ada harapan untuk kami cipta bahagia dengan sebuah keluarga yang lengkap suatu hari nanti, insya-Allah.

“Kita tak tahu banyak mana lagi masa yang kita ada di dunia ini. Bila tengok diri saya sekarang, Alhamdulillah sudah banyak beza dari dahulu.

“Saya hanya mahu hargai apa yang Allah bagi, selebihnya kita hanya merancang Allah yang tentukan,” ujarnya reda dengan setiap ujian yang dilalui.

2019 terus berkarya

Menganggap penghujung 2018 adalah antara detik terburuk dalam kalendar hidupnya tatkala diheret kontroversi yang tidak dijangka baru-baru ini.

Insiden amarah dan bertelingkah dengan pengguna media sosial yang menjadi bahan muka depan segenap media itu benar-benar memberi pengajaran kepadanya agar lebih bersikap tenang dan bijak berdepan dengan sikap warganet.

“Itu hari yang paling malang bagi saya kerana terlalu mengikut kata hati. Selepas apa yang berlaku, saya sedar hidup ini bukan untuk diri saya seorang tetapi ada satu pihak lagi yang perlu difikirkan,” kongsinya.

Lembaran baharu 2019 bakal dimulakan dengan sebuah lagi karya terbaharu berjudul Meluruh.Masih kekal dengan lagu meruntun jiwa, Meluruh ditulis Alyah bersama Helen Yap dan Roslen, bakal dikeluarkan Februari depan.

Selepas lagu Jutaan Purnama yang kini menjadi bualan hangat, Alyah tidak terfikir untuk menukar genre muzik mengikut trend lagu-lagu sekarang.

“Selama 18 tahun dalam industri, saya berjaya menjadi apa yang diperoleh hari ini di atas kepercayaan yang diberi orang-orang lama seperti Manan Ngah, Johari Teh dan Datuk Ahmad Nawab.

“Tak mungkin saya akan hilangkan kepercayaan mereka semata-mata untuk mengikut trend kerana saya percaya muzik juga seperti fesyen yang sentiasa berputar.

“Saya lebih percaya pada kualiti berbanding populariti. Untuk tukar genre tidak sama sekali, tetapi untuk tambah nilai bagi disesuaikan dengan trend sekarang, saya tidak menolak,” ujarnya positif.