KUALA LUMPUR 28MIZZ NINA dan suaminya, Noh tidak pernah berputus asa dalam usaha menimang cahaya mata selepas tujuh tahun berkahwin.

Demikian penjelasan pengacara yang kini aktif dalam misi kemanusiaan, Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina yang masih belum dikurniai cahaya mata selepas berkahwin dengan vokalis Hujan, Noh Salleh tujuh tahun lalu.

Tambah penyanyi ini, kebahagiaan juga tidak bergantung kepada mempunyai keluarga yang lengkap kerana matlamat hidup seseorang di dunia ialah untuk mengejar akhirat.

Bagaimanapun, kata Mizz Nina, 38, dia dan Noh masih tidak berputus asa untuk menimang cahaya mata sehingga pernah menjalani proses kaedah pembenihan in-vitro (IVF).

“Saya pernah menjalani rawatan IVF tidak lama dahulu namun belum ada rezeki kami. Pada awal perkahwinan, memang ada rasa sedih bila ditanya soal anak tetapi apabila semakin mendalami Islam, perkara ini membuka mata kepada pelbagai hikmah Allah.

“Kalau kita tidak punya anak, tidak berkahwin dan sebagainya tidak bermakna kita tidak bahagia. Kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada dan boleh mencari bahagia dengan cara lain yang memfokus kepada akhirat.

“Apabila masih tidak ada anak, saya dapat memfokus kepada kerja-kerja kemanusian dan majlis-majlis keilmuan yang saya anjurkan bersama syarikat saya, DOPS TV,” kata Mizz Nina yang ditemui pada sidang media Yasmin Mohaged Malaysia Tour 2018 di sebuah premis pakaian di sini hari ini.

Menerusi jalinan kerjasama dengan Al Magrib Institute dan Hijup, syarikat tersebut membawakan pensyarah dan penulis tersohor Yasmin Mogahed dari Amerika Syarikat ke Malaysia bagi memberi ceramah dan motivasi kepada para peseeta selama tuga hari bermula 24 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE