Menganggap tiada sebab untuk dia melupakan keluarga Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, dia melihat kekuatan ikatan kekeluargaan adalah keutamaan buat dirinya.

Tidak perlu menunggu kesesuaian masa di Aidilfitri kerana baginya, ziarah-menziarahi wajar dilakukan selagi punya kelapangan.

“Saya dan suami selalu bertemu dengan ibu dan keluarga masing-masing. Seminggu lebih dari dua kali. Kami berdua ni memang jenis yang rapat dengan keluarga walaupun sudah berkahwin.

“Agaknya mungkin kerana kami berdua adalah anak bongsu. Hal ini juga tidak terkecuali dengan keluarga bekas mertua,” katanya bercerita.

Menurut Nora, dia merasa bertuah kerana mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat erat dan itu sudah mencukupi bagi dirinya.

“Tak perlu fikir apa tanggapan orang yang penting, keikhlasan kami mengekalkan silaturahim antara keluarga tanpa mengira pangkat atau darjat.

“Lagipun, saya tidak mempunyai keluarga yang besar. Jadi merekalah ‘keluarga’ saya di sini. Kenapa harus ditamatkan ikatan yang sudah terjalin lebih dari 13 tahun?” katanya.

FOTOGRAFI RAYA NORA DANISH

Semua punya kisah sendiri

Sedar bahawa ada individu di luar sana yang tidak mempunyai sebuah keluarga sempurna, Nora melihat tidak perlu mewujudkan perbandingan dalam hal ini.

“Saya percaya, masing-masing ada kisah tersendiri. Tetapi ya, saya antara yang beruntung kerana memiliki keluarga yang penyayang dan sentiasa berfikiran positif.

“Biarpun ada yang mungkin mempunyai keluarga tidak sempurna, nilai kasih sayang, kunjung-mengunjung itu harus dikekalkan.

“Dari kecil patut diterapkan supaya anak-anak faham dan menjadi kebiasaan. Bukan sahaja waktu perayaan tetapi juga pada hari biasa,” tambahnya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai sambutan hari raya, Nora yang berada di ibu kota saban tahun lebih selesa meraikannya dengan cara bersederhana.

Cuma sesekali mencuri peluang untuk beraya di luar negara, Nora dan suami mengambil peluang ini untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Ragam si kecil

Dalam perkembangan lain, kata Nora kehadiran si kecil Mohamed Neqayl Nedim (Ney Ney) yang kini berusia setahun juga menceriakan lagi keluarganya di kedua-dua belah pihak.

“Maklumlah, semua sudah lama tidak mempunyai anak kecil di rumah, jadi gelak 
tawa dan ragam Ney Ney sangat menghiburkan kami semua.

“Alhamdulillah, dia seorang anak yang senang dijaga. Dia juga suka belajar, jadi setiap hari saya akan luangkan masa untuk mengajar Ney Ney sama ada mengenal huruf, nombor atau bentuk.

“Memandangkan saya juga sudah kurangkan aktiviti lakonan, ini lah masanya untuk fokus pada anak-anak,” katanya yang juga ibu kepada Putra Rayqal Ramli, 11.