Apatah lagi tunangnya, Haziq pernah tertekan dengan kecaman warganet terhadap mereka.

“Tipulah kalau saya cakap tidak pernah menangis dengan tuduhan yang dilemparkan oleh warganet kepada saya. Kalaulah saya mahu menipu atau menyembunyikan majlis pertunangan tersebut, sudah tentu saya tidak akan membiarkan ahli keluarga dan teman rapat yang datang memuat naik gambar-gambar pertunangan kami dalam laman sosial.

“Begini ceritanya, majlis itu sebenarnya tidak dirancang sepenuhnya. Namun, apabila keluarga Haziq menyatakan hasrat mahu meminang saya, maka pihak keluarga saya rasa bertanggungjawab untuk mengadakan majlis kecil,” kata Eyra membuka cerita.

Tambahnya, momen indah tersebut bukan sekadar bertunang dan membincangkan hal perkahwinan, tetapi ia adalah kunjungan pertama keluarga Haziq untuk mengenali keluarganya dengan lebih dekat.

“Saya sedar sebagai artis sudah tentu majlis penting sebegini harus dikongsi bersama peminat dan media. Namun, atas permintaan kedua-dua belah keluarga, ia perlu dirahsiakan terlebih dahulu dan diadakan secara tertutup.

“Pada awalnya saya dan Haziq bercadang mahu membuat kenyataan kepada media selepas beberapa hari ia berlangsung sementara menunggu foto daripada jurugambar rasmi kami siap.

“Namun, disebabkan semuanya sudah tersebar, kami tidak boleh buat apa-apa dan hanya mampu meminta maaf jika ada yang menyangka kami mahu menyembunyikan majlis pertunangan ini,” luah Eyra panjang lebar kepada Hits.

Justeru, apabila dihubungi oleh sebuah portal hiburan sehari selepas majlis pertunangan berlangsung, Eyra mengambil jalan mudah untuk berahsia buat seketika.

Bukan niat untuk berbohong tetapi dia berasakan perlu bersikap adil kepada pihak media yang juga dianggap rakan-rakannya di dalam industri seni.

“Apabila dihubungi sebuah portal hiburan yang bertanyakan tentang status pertunangan, saya memberitahu yang saya akan membuat kenyataan kemudian, tapi bukan menafikan hal tersebut.

“Saya rancang memberitahu media serentak apabila gambar sudah siap. Saya menghormati rakan media dan mahu adil kepada mereka kerana tidak mahu dikata memilih media tertentu pula.

“Tidak dinafikan, tuduhan kononnya saya menipu peminat dan media membuatkan Haziq agak tertekan. Mungkin saya sudah biasa dengan situasi sebegini tetapi tidak Haziq. Dia tidak biasa dengan kecaman warganet.

“Apa yang membuatkan kami terus kuat adalah sokongan keluarga dan para peminat yang memahami situasi yang kami hadapi,” jelas pelakon Samudera Rindu ini.