Kadangkala mati akal untuk memberi jawapan terbaik biarpun setiap kalinya sudah kedengaran agak klise, jejaka kacak ini bagaimanapun tetap tersenyum dengan seribu satu maksud mendalam. Pastinya kita semua tahu, dia dan isteri tentunya berharap untuk dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.

Melahirkan rasa syukur kerana dberikan kesihatan yang baik dan kebahagiaan bersama isteri, Izzue akui dia enggan terlalu memikirkan soal itu dan mahu terus menikmati musim percintaan berdua dengan Awin.

Sentiasa meraikan cinta umpama sebelum mereka mendirikan rumah tangga lagi, Awin di mata Izzue tetap wanita terbaik sehinggakan perasaan itu dicurahkan di dalam bait-bait lagu berjudul Muzik Tiduranku. Ia single ketiga Izzue yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu.

Bukan mahu menjadi ekstra manis, tetapi kata Izzue dia sudah lama mengidam mahu menghadiahkan sebuah lagu buat isterinya itu sebagai tanda kasih sayang dan kerinduan antara satu sama lain.

“Lagu itu sudah ada sejak sebelum saya berkahwin lagi dengan Awin. Ketika itu cuma hasilkannya secara main-main sambil memetik gitar.

“Liriknya pun pada awalnya agak caca marba. Namun bila saya katakan ia adalah lagu ditujukan buatnya, Awin dalam keadaan percaya dan tidak.

“Dia macam tak sangka saya hadiahkan lagu. Kemudian baharulah kami sama-sama gubah semula lagu itu selepas Awin beri cadangan mengapa tidak ia dikomersilkan,” katanya yang terus sahaja bersetuju dengan idea isterinya itu.

Berkongsi mengenai curahan rasa menerusi lagu itu, kata Izzue dalma nada berterus-terang, dia mahu Awin yang juga pengurusnya itu tahu yang dia tidak pernah mahu menduakannya lantaran cinta yang mendalam buat wanita itu.

“Bukanlah nak jadi mamat ‘poyo’. Tapi saya mahu dia tahu, mata ini hanya nampak dia sahaja. Jadi, dia tidak perlu bimbang soal wanita lain.

“Sebab ke mana-mana pun saya pergi, saya cuma mahukan dia sahaja,” katanya.

Bergaduh

Dalam perkongsian Izzue mengenai pembikinan muzik video lagu tersebut yang dilakukan di Jordan, dia sempat ‘bergaduh’ dengan isterinya itu yang agak keras dalam prinsip enggan terlalu terdedah di mana-mana media.

Bagi mereka yang mengenali Awin, secara peribadi wanita berusia 36 tahun ini sememangnya amat payah untuk bertoleransi dengan kehendak atau tuntutan pihak media untuk merakamkan gambar mahupun dalam bentuk video atas tujuan publisiti.

“Masa di Jordan tempoh hari, bergaduh jugalah saya sebab mahukan dia berlakon sama dalam muzik video itu. Iya lah, rakaman itu akan jadi sebuah muzik video sentimental buat kami kerana lagu itu pun dihasilkan buat dirinya.

“Pendek kata seboleh-bolehnya dia tak nak muncul di kaca televisyen atau di mana-mana medium. Tapi setelah dipaksa juga, akhirnya dia bersetuju untuk menjayakan muzik video itu.

“Cuma, dia letak syarat pula. Tak mahu wajahnya disiarkan penuh. Nampak sikit-sikit dan dari tepi sahaja sudah memadai,” katanya yang melayan sahaja kerenah Awin.

Dalam pada itu, Izzue juga melahirkan rasa gembira dan terharu kerana sahabatnya Ashraf Muslim juga sudi terbabit dalam muzik video itu sebagai cameo.

Mengaku mencuri-curi masa merakamkan muzik video itu sewaktu terbabit dalam penggambaran filem XXXRay 3 arahan Aziz M. Osman, Izzue menganggap adalah rugi andai peluang itu dilepaskan.

“Di sana banyak lokasi yang cantik-cantik dan sebab itulah saya dan krew ambil kesempatan untuk buat terus penggambaran muzik video.

“Abang Aziz sudah dimaklumkan mengenai hal itu dan tentulah ia tidak dilakukan di waktu saya ‘bertugas’ untuk XXXRay,” ujarnya.