Bagi Isa Khan yang memulakan langkah seninya menerusi Akademi Fantasia (AF) 2016 itu, dia tidak mahu terburu-buru dalam mengatur strategi. Setiap tindakannya harus ada sebab dan alasan tersendiri.

Apatah lagi, dia sedar pemilihan lagu adalah elemen paling penting bagi seseorang penyanyi untuk terus kekal menambat hati peminat. Trend muzik juga harus diambil kira.

Tampil dengan single pertama, Syurga Yang Sempurna, Isa mempertaruh hasil buah fikirannya sendiri sebagai percubaan meraih perhatian para peminat muzik tempatan.

Diaju soalan, mengapa dia mengambil masa dua tahun untuk tampil dengan single sendiri, Isa dengan tenang menjawab yang dia tahu tiada jalan pintas untuk berjaya sebaliknya perlu melangkah satu demi satu.

Malah dia sama sekali menolak sebarang kontroversi atau publisiti yang sengaja dicipta semata-mata untuk melariskan namanya di gelanggang seni yang kini dibanjiri dengan nama-nama penyanyi baharu.

Sedar tentang kemungkinan dia sedikit ketinggalan tetapi bagi Isa, lebih baik dia mendaki puncak seni dengan usaha dan kudrat sendiri tanpa bantuan kontroversi yang boleh mencemarkan semangat dan niat murninya.

“Mula-mula keluar AF, saya sendiri tertanya-tanya kenapa tidak ada single sendiri lagi. Tapi benarlah, perancangan Tuhan itu cukup cantik. Saya ditawarkan berlakon teater dan drama terlebih dahulu.

“Lagu Syurga Yang Sempurna ini jiwanya tepat dengan saya. Saya gemar lagu-lagu balada. Bukan tidak mahu mengikut trend semasa cuma saya rasa lebih baik kita percaya dengan lagu dan jiwa muzik sendiri.

“Sudah tiga bulan lagu ini dilancarkan, mula-mula memang perlahan sikit penerimaan peminat tetapi tidak mengapa. Tiada jalan pintas untuk berjaya,” katanya yang juga adik kepada pelakon tempatan yang popular di Indonesia, Miller Khan.

Tidak mudah untuk meyakinkan diri sendiri supaya bersabar, namun Isa tetap bersemangat untuk tidak mengalah. Baginya, masa adalah penentu kejayaan seseorang artis yang benar-benar berjiwa seni.

Dua tahun bertungkus lumus dalam menghasilkan yang terbaik, anak kelahiran Johor ini hanya mahu menghasilkan karya yang benar-benar mampu memahat namanya dalam dunia seni untuk jangka masa lama.

“Bagi saya setahun atau dua bukan isunya. Lagu ini saya cipta bersama-sama Room None beberapa tahun lepas. Ketika itu, saya belum dapat melodi yang cukup kuat dan sering menukarnya.

“Saya memang jenis tak mahu terburu-buru. Saya juga tidak suka memaksa populariti itu datang. Perlahan-lahan, kita promosi lagu ini sebab saya yakin, peminat akan mudah menerimanya.

“Satu karya yang bagus pasti akan menaikkan nama seseorang penyanyi itu. Takkan kita nak menghasilkan sesuatu yang tidak berkualiti semata-mata untuk tular? Saya mahu fokus karya yang terbaik,” kata pemuda berusia 25 tahun ini.

Jangan harap kesempurnaan

Tidak hanya bergelar penyanyi, anak muda berwajah kacukan ini turut melebarkan sayap seninya dalam bidang lakonan apabila bakal muncul dengan drama bersiri tidak lama lagi.

Bergandingan dengan pelakon hebat, Sharifah Sakinah, Isa sedar pasti akan ada netizen yang mula membandingkan lakonannya dengan aktres itu. Apatah lagi, dia masih hijau dalam dunia lakonan.

“Kita sedia maklum, drama romantik komedi adalah makanan Sakinah. Jadi apabila bergandingan dengannya, saya tak nafikan mungkin ada peminat yang akan mengecam dan mengkritik lakonan saya.

“Janganlah mengharapkan kesempurnaan. Saya masih belajar dan sentiasa mencuba untuk memperbaiki lakonan.

“Lagipun, drama komedi bukan kebiasaan buat saya. Kalau nak kata ‘kayu’, tak apa. Itu ruang belajar.

“Ada juga beberapa tawaran drama lain. Alhamdulillah, rezeki dalam bidang lakonan itu sentiasa ada. Tapi itu tidak bermakna saya akan hilang fokus kepada dunia nyanyian,” katanya yang pernah berlakon teater ini.

Dalam pada itu, Isa juga meletak harapan untuk melebarkan sayap seninya ke negara seberang, Indonesia mengikut jejak langkah abangnya. Namun dia menolak untuk dibayangi populariti abangnya.

“Memanglah abang saya pelakon popular di sana tetapi itu tidak bermakna saya dengan mudah dapat menembusi pasaran Indonesia. Jalannya sama sahaja, kena berusaha sendiri.

“Tetapi kalau boleh saya mahu kukuh nama di Malaysia dahulu sebelum mencuba nasib di negara luar. Tetapi kalau ada peluang takkan saya hendak tolak? Semuanya bergantung kepada rezeki,” katanya.

Ditanya apakah reaksi abangnya apabila dia melancarkan single sulungnya, Isa berkata, abangnya cukup gembira dan tidak percaya sebenarnya dia mempunyai bakat menulis lagu dan lirik.

“Lagu itu sebenarnya agak tinggi tetapi satu cabaran untuk saya.

“Sebab itu Miller terkejut tetapi dia gembira dan banyak menasihat saya untuk terus merendah diri dalam industri,” katanya.