Justeru tidak hairanlah, banyak pihak media senang berbicara tentang pelakon ini. Tanyalah soalan apapun, dia bijak menyusun kata menjawab dengan tenang biarpun tangga usianya masih muda.

Populariti yang dikecapi bukanlah tiket baginya untuk meninggi dan menyombong diri. Jiwa hambanya kekal berakar kepada langkah seninya biarpun sorakan peminat mengiringi perjalanan.

Biarpun pembabitan dunia seninya boleh dikatakan masih muda, Janna sudah melangkah pelbagai onak duri, yang adakalanya mengguris hati wanita yang dimiliki.

Pada usia 22 tahun, dia sudah berjaya bergelar pelakon wanita paling popular. Kekayaan yang dimiliki juga adalah hasil titik peluhnya sendiri, berhempas pulas melebarkan bakat.

“Kalau tanya bab penat, memang saya setuju. Saya hanya tidur paling maksimum lima jam sehari. Tapi tidak mengapa, saya masih muda. Tenaga dan kudrat masih semuda usia.

“Cuma sekarang apabila ada pengurusan, kerja lebih mudah dan tersusun. Bagi saya, seseorang artis yang sudah mula sibuk mereka memerlukan pengurusan yang baik untuk memastikan jadual lebih
 teratur.

“Tetapi kalau dia boleh menguruskan kerjaya seninya sendiri, tak perlu pengurus pun. Macam saya, sekarang memang pengurusan sangat penting,” katanya memulakan bicara.

Melihat kepada draf peningkatan kerjaya seni Janna, namanya kini menjadi pilihan pelbagai produk tidak kira tempatan mahupun antarabangsa untuk mewakili jenama tersebut.

Malah hari demi hari, selain produk seni, pelakon kelahiran Kedah ini giat mempromosikan pelbagai produk yang melantiknya sebagai duta. Ke sana ke sini, wajahnya sentiasa menemani.

Diaju soalan, adakah dia bakal memperlahan karier seninya sementelah dia semakin sibuk dengan pelbagai program yang melibatkan dirinya sebagai duta, perlahan-lahan Janna menggelengkan kepala dan tenang menjawab.

“Saya tidak akan memperlahan kerjaya seni. Cuma saya kini banyak terlibat dengan drama-drama episod yang panjang. Jadi masa lebih banyak dihabiskan di set penggambaran.

“Tahun ini pun, saya hanya menerima dua sehingga tiga projek sahaja. Saya pun tidak suka untuk mencampuradukkan kerja pada satu masa. Jadi bila episod panjang, tempoh penggambarannya juga 
panjang.

“Sekarang saya boleh mula memilih yang diinginkan. Naskhah macam mana yang 
saya idamkan. Saya juga lebih bebas untuk meluangkan masa untuk diri sendiri,” katanya yang popular dengan drama Kau Aku Kita.

Menganggap pelantikan duta sebagai rezeki bagi kelangsungan hidupnya, dia sentiasa meletakkan kepercayaan peminat sebagai salah satu faktor sebelum dia menerima sebarang tawaran.

“Saya kena cuba dahulu produk yang ingin melantik saya sebagai duta. Itu penting kerana mungkin ada peminat yang akan beli produk itu kerana saya. Kalau tak bagus, bermakna saya juga tak bagus.

“Saya sendiri sebagai peniaga memahami kehendak pengguna dan peniaga itu sendiri.

“Kita pastinya mahu membeli produk yang berkesan dan berguna,” katanya yang juga merupakan duta kepada produk kecantikan, Cassandra.

Single untuk peminat 

Sudah lama rasanya peminat bertanyakan kepada pelakon yang juga seorang penyanyi ini, bila single baharunya bakal kedengaran pada corong-corong radio.

Masakan tidak, kesibukannya sebagai pelakon membataskan langkahnya untuk merakamkan lagu baharu. Mahu tidak mahu, dia harus bijak menyusun masa supaya dapat memenuhi kehendak peminat.

Bakal tampil dengan dua single, solo dan duet sekali gus pada November ini, Janna kini bersedia melangkah dengan lebih maju dalam dunia nyanyiannya.

Tampil berduet dengan pelakon, Alvin Chong bagi runut bunyi drama, Coffee Prince, Janna melancarkan kedua-dua single secara serentak.

Single solo keduanya juga merupakan runut bunyi bagi drama tersebut dan mendapat sentuhan rakan penyanyi, Hael Husaini.

“Ramai peminat tanya bila saya hendak tampil dengan single baharu. Sudah alang-alang, saya lancarkan terus dua lagu sekali gus.

“Memang sibuk dengan komitmen sebagai pelakon dan duta produk tetapi saya perlu pandai membahagi masa dan tenaga.

“Berduet dengan Alvin merupakan permintaan pihak penerbit drama itu sendiri. Bukan tak mahu berduet dengan Fattah tapi apabila produser yang meminta sedemikian, kita ikut sahaja,” katanya.

Bergandingan dengan hero pujaan ramai dalam drama Coffee Prince, Fattah Amin, pastinya Janna berdebar menantikan penerimaan peminat terhadap drama yang diadaptasi dari Korea Selatan itu.

“Lagi dua bulan saya bakal selesaikan sesi penggambaran dan selepas itu terus masuk set penggambaran bagi projek lain.

“Gementar tetapi kami sudah buat yang terbaik demi memuaskan hati peminat,” katanya menutup bicara.