Seperti Birdman yang menerima pencalonan terbanyak sebelum ini, The Revenant menerima 12 pencalonan.

The Revenant membawa soal kemanusiaan dengan cukup cermat dan mengagumkan. Bagaimana sebuah kisah terpencil boleh diangkat ke satu sudut yang memberikan ruang penceritaan lebih luas dan kelihatan menarik. Keupayaan Alejandro Gonzalez Inarritu mengorak penceritaan visual membolehkan The Revenant menyelami hal-hal penderitaan dan sengsara manusiawi dengan lebih kuat.

Kita mengenali Alejandro Gonzalez Inarritu sebagai seorang pembikin filem yang gemar meneroka kegelapan, sisi tragedi dalam jiwa manusia dan ruang sepi yang memberikan kesan langsung kepada emosi filem-filemnya. Ini dilakukan beliau dalam The Revenant.

Sehingga kita bukan sekadar menonton pengembaraan penuh sengsara Hugh Glass lakonan hebat Leonardo DiCaprio malah kita sebenarnya mampu merasai yang dilalui watak utama berkenaan. Inilah pengalaman berharga yang dapat kita kutip sepanjang menonton The Revenant.

Para pelakon yang tampil dalam filem ini juga memberikan kesan yang cukup positif, lebih-lebih lagi Leonardo DiCaprio yang dilihat memberikan komitmen luar jangkaan untuk menjayakan watak Hugh Glass. Leonardo DiCaprio sebenarnya mencabar dirinya dan menonjolkan kesakitan emosi yang dilalui Hugh Glass.

Walaupun tidak banyak berdialog namun ekspresi dan bahasa tubuh Leonardo DiCaprio sangat menyakinkan. Kita lihat bagaimana dia mengeluh, menahan sakit dan kesejukan, bangkit serta melawan. Ini seolah-olah memberikan kita gambaran bahawa Leonardo DiCaprio sedang menjerit bahawa dirinya tidak akan menyerah kalah untuk diangkat sebagai Aktor Terbaik Anugerah Academy pada kali ini.

Tidak dapat kita nafikan bahawa Hugh Glass adalah persembahan bertenaga dan sesuatu yang berlainan pernah dijelmakan oleh beliau. Watak antagonis yang didukung oleh Tom Hardy sebagai John Fitzgerald juga menjadi salah satu sebab mengapa The Revenant merupakan filem yang wajar ditonton dan dihargai untuk tahun ini.

Kerja kamera filem ini juga dilaksanakan dengan cukup cemerlang oleh Emmanuel Lubezki yang sebelum ini memenangi anugerah Sinematografi Terbaik Anugerah Academy untuk Gravity dan Birdman.

Beliau meletakkan setiap babak penting pada kedudukan yang membuat kita mampu merasai pengalaman yang dilalui watak. Kita seolah-olah dicampakkan di pertengahan konflik. Ini dapat dilihat semasa babak pembukaan yang melihatkan serangan mengejut puak Arikara dan babak Hugh Glass diserang beruang ganas.

Pandangan kamera Lubezki juga dilihat artistik apabila beliau berjaya menonjolkan kesemulajadian alam bersatu dengan manusia yang sedang berkonflik sesama sendiri. Gambaran langit dan salji yang nampak indah dan bermakna. Walaupun kadangkala kita dapat merasakan filem ini seperti sedikit hilang fokus dan momentum, khususnya di babak-babak berkaitan mimpi mistik Hugh Glass pada pertengahan cerita.

Kesan visual filem ini juga menarik, khususnya semasa babak serangan beruang ganas. Beruang itu dipaparkan dalam keadaan cukup realistik secara fizikal dan reaksinya. Babak penting yang menjadi nadi penting filem ini berjaya dibikin dengan sempurna. Ini ditambah pula dengan keupayaan Leonardo DiCaprio yang bijak memainkan peranannya.

The Revenant memiliki kekuatan sebagai filem yang melihatkan pertentangan antara manusia dan alam dan manusia menentang manusia. Lebih menarik filem ini menyulamkan bagaimana alam dan manusia itu boleh jadi saling memerlukan dan boleh jadi saling bertentangan sehingga menimbulkan konflik yang lebih kompleks.

Liar alam itu juga terjadi atas tangan manusia dan liar manusia itu lebih sukar untuk dijangkakan sehingga wujudnya rasa dendam dan mahu membalas. Visual filem ini bakal menjadi tanda ingatan apabila kita mengingati filem-filem yang berkisar tentang pertentangan dalam ruang yang dimaksudkan. Ruang alam dan manusia.

Pada babak akhir filem ini, turut terselit keupayaan Alejandro Gonzalez Inarritu merungkai aspek moral iaitu semasa Hugh Glass mahu membalas dendam kepada perlakuan John Fitzgerald, beliau tidak melaksanakan hukuman di tangannya sebaliknya hanya menyebut ‘Revenge is in God’s hands, not mine’.

Ini menjelaskan lagi bagaimana pertentangan sesama alam dan manusia itu tidak wajar melupakan kuasa agung yang mengaturkan segala-galanya. Kadangkala kita tidak memerlukan filem berbentuk dakwah untuk memahami soal kemanusiaan yang benar dan wajar.