Dia yang merupakan pemain gitar bagi kumpulan The Outbreak memberitahu, pengarah filem tersebut, Aziz M. Osman mula menghubunginya sekitar awal tahun 2016 selepas satu video lucu mengenai dirinya tular di media sosial.

Selain berpeluang terlibat sebagai pelakon dalam filem tersebut, Adam John bersama kumpulan muziknya, The Outbreak juga berpeluang untuk menampilkan lagu ciptaan mereka sendiri yang berjudul Selamatkan Dunia sebagai salah satu runut bunyi dalam filem XX-Ray 3.

"Walaupun ramai yang bertanya mengenai lagu penuhnya, Selamatkan Dunia hanya akan kami perdengarkan kepada umum sewaktu promosi filem XX-Ray 3 akan diadakan nanti sekitar Ogos atau September nanti,” katanya.

Ujar Adam John, The Outbreak dianggotai Falique Reza sebagai vokalis utama (tengah), Aliff Khaliq (drum), Hafiz Tajudin (gitar), Erzuan Rooslan (bass) dan dirinya sebagai pemain gitar dan sedutan lagu tersebut ada muat naik di Facebook rasmi The Outbreak.

Adam John kongsi pengalaman di set penggambaran XX-Ray 3
Adam John

"Lagu Selamatkan Dunia itu telah lama kami ada dalam bentuk demo. Namun begitu semasa di set penggambaran, saya terbaca satu dialog mengenai usaha untuk menyelamatkan dunia.

"Saya terus beritahu abang Aziz dan minta dia dengar lagu tersebut. Abang Aziz berminat dan kami terus diberi syarat menyiapkan lagu tersebut dalam versi penuh sebelum Julai," ujar Adam sewaktu ditemui Utusan Online, di sini hari ini.

Mengimbau perbualan awal di antara dia dan Aziz, sehingga hari ini Adam masih terasa bagaikan mimpi kerana tidak menyangka seorang pengarah filem akan menghubunginya menerusi Facebook.

"Antara ayat yang dinyatakan, saya ada tengok video awak. Saya tengah menulis skrip tentang XX-Ray 3 dan saya rasa, awak macam sesuai. Awak minat berlakon? Perbualan itu berlaku sekitar awal tahun 2016 dan jawapan saya, saya terima.

“Memang terkedu. Bayangkanlah.. awak merupakan peminat filem XX-Ray dan tiba-tiba pengarah filem itu sendiri yang mula mencari awak. Perasaan itu memang sukar untuk digambarkan.

Tambah Adam lagi, melalui perbualan ringkas itu juga, dia bersyukur kerana peluang tersebut membolehkan dia menempa nama sebagai dengan pendatang baharu dalam industri lakonan dan mula menerima beberapa tawaran lakonan untuk filem lain.

Dia yang turut berganding bersama Izzue Islam dan Nonny Nadhirah memberitahu watak Sam yang dipegangnya dalam XX-Ray 3 merupakan seorang pakar komputer dan peminat tegar bahan-bahan sains fiksyen.

“Banyak perkara serta pengalaman menarik saya perolehi sepanjang dua bulan saya mengikuti penggambaran filem ini. Jika di Melaka, pengalaman beraksi dalam ruang penjara yang sebenar memberikan satu ‘rasa’ yang cukup menginsafkan.

"Namun lain pula sewaktu beraksi di hadapan Petra, Jordan, saya merasakan diri saya sama seperti watak Indiana Jones yang turut pernah melakukan penggambaran di lokasi yang sama,” ujar Adam yang kini menunggu tarikh untuk memulakan penggambaran dalam filem Rock 4 arahan Mamat Khalid di Ipoh, Perak. - UTUSAN ONLINE