Pernah mencipta fenomena tersendiri menerusi debut pada 2005, tiga beradik iaitu Nick, Kevin dan Joe hadir dengan penampilan lebih segar dan stailo.

Seiring dengan usia dan status terkini, The Jonas Brothers kembali dengan azam baharu selepas pernah hangat dengan isu 'perang dingin' antara mereka.

Siapa sangka dengan 
reputasi cemerlang sebagai sebuah band yang banyak menduduki carta utama dunia muzik, mereka satu ketika pernah berpecah.

Tidak pernah mendedahkan punca sebenar mengapa keputusan itu dibuat, Nick, Kevin dan Joe bagaimanapun baru kini mahu membicarakan hal itu.

Menerusi temu bual dengan media antarabangsa, Nick membuka mulut.

"Jujurnya perpecahan yang berlaku langsung tidak menggembirakan hati kami. Malah, beberapa tahun selepas itu juga amat mencabar buat kami membina semula hidup sebagai satu keluarga.

"Saya rasa kami semua pada masa itu bersetuju bahawa adalah sukar untuk kami bersatu sebagai sebuah band sama macam dulu. Sebenarnya sukar untuk membiasakan diri menghasilkan muzik tanpa mereka," katanya.

Selain Nick, Joe juga memberitahu dek kerana perpecahan The Jonas Brothers, dia dilanda kemurungan 
yang melampau sehingga terpaksa bertemu pakar terapi.

"Keputusan untuk 
berpecah dibuat oleh Nick ketika itu. Sebagai salah seorang anggota, saya tentunya amat marah dengan Nick. Malah, untuk satu tempoh lama saya tak boleh langsung bercakap atau bertemu dengan Nick dan Kevin," katanya.


Kembali berbaik

Mungkin benarlah kata orang, air dicincang tidak akan putus. Begitu ibaratnya hubungan The Jonas Brothers sebagai adik-beradik.

Biarpun agak lama hubungan itu mengambil masa untuk pulih, tetapi sekurang-kurangnya ramai yang gembira apabila melihat ketiga-tiga mereka berbaik semula.

Biar apa pun sebab atau puncanya, Nick, Kevin dan Joe membuktikan bahawa rasa kasih dan sayang antara mereka sentiasa ada.

Pembuka jalan buat mereka adalah menerusi sebuah program dokumentari terbitan Elvis Duran yang berjaya menyatukan kembali band itu.

“Semuanya berlaku pada tahun lepas apabila kami bersetuju untuk berkongsi cerita dalam bentuk dokumentari. Segala perjalanan kami diceritakan dalam program itu.

“Kemudian semuanya berlaku dengan mudah, kami pun kembali duduk semeja, habiskan masa bersama. Mungkin ketika itu kami merasakan seolah-olah ada magis.

“Oleh kerana saya yang membuat keputusan untuk berpecah sebelum ini, jadi biarlah saya juga menyuarakan hasrat untuk mengembalikan semula band ini,” tambahnya.

Gembira dengan hasrat Nick, selain Kevin, Joe turut menyahut baik cadangan adiknya itu.

Meskipun mengambil masa agak lama untuk memperbaiki hubungan kini mereka bukan sahaja berbaik sebagai sebuah band, tetapi juga sebagai sebuah keluarga.

“Ketika perpecahan terjadi, kami semua larut dengan rasa dan jiwa yang muda. Setelah sekian lama, ya, kami semua akhirnya mahu melupakan segala salah faham yang berlaku.

“Percayalah, ini bukan satu propaganda. Kami memang mahukan perkara ini (hubungan kembali pulih),” katanya.

Dalam pada itu, The Jonas yang baru sahaja melancarkan lagu baharu berjudul Suckers kini menjadi bualan dalam kalangan peminat mereka.

Dilihat semakin mendominasi dengan Suckers, muzik video lagu tersebut turut menjadi bualan kerana dibintangi oleh pasangan masing-masing.

Mereka ialah, Priyanka Chopra (isteri Nick), Danielle Jonas (isteri Kevin) dan Sophie Turner (tunang Joe).