Bagi pengarah filem ini, Pveezi Zain, pastinya tempoh masa berkenaan tidak pernah disia-siakan walaupun ramai berpendapat yang impian untuk melaksanakan filem berbajet besar ini sudah berkubur.

Tambahnya, dalam tempoh berkenaan, dia mengumpul idea untuk dijadikan input kepada filem yang berkisahkan tentang naga Tasik Chini yang sudah diketahui kisahnya oleh kebanyakan masyakarat negara ini sejak dahulu.

“Saya tahu orang beranggapan filem ini sudah menemui noktahnya tapi sebenarnya agak lama untuk saya membangunkan filem ini dek kerana kekangan modal dan beberapa hal lain.

“Kami ada memohon bantuan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dan mereka hanya memberikan dana sebanyak RM4 juta sahaja sedangkan filem ini menelan belanja sebanyak RM20 juta.

“Alhamdulillah penantian selama empat tahun ini membuahkan hasil apabila saya berjaya mencari penaja yang sudah mengesahkan untuk memberikan jumlah yang diperlukan,” kata Pveezi yang dikelaskan oleh Finas sebagai produser generasi baharu.

The Chini Saga yang diterbitkan oleh Versa Eye Consultant bertuah apabila syarikat Otai Production Sdn. Bhd., melalui beberapa pelabur sudah menyatakan persetujuan untuk menaja sebanyak RM20 juta dan RM5 juta lagi untuk tujuan promosi.

Tambah Pveezi, pastinya inspirasi untuk menerbitkan filem ini hadir saat dia menonton filem Naga Tasek Chini yang dikeluarkan pada 1966. Idea tersebut dikembangkan dan dijadikan sebuah naskhah baharu untuk generasi hari ini.

Sepanjang mendiamkan diri, dia telah bertemu dengan tiga Profesor terkemuka negara bagi mendalami lagi kisah naga Tasik Chini untuk memantapkan jalan cerita dan plot yang dibangunkan.

Selain itu Pveezi juga sudah menemui beberapa penduduk asal yang menetap di sekitar Tasik Chini bagi mengetahui lebih mendalam tentang misteri naga yang masih belum terungkai sehingga kini.

“Sebenarnya ada tiga cerita yang popular tentang naga Tasik Chini termasuklah kisah adik-beradik yang berebut telur tembakul.

"Jadi perbezaan kisah-kisah yang diceritakan itu yang perlu diambil kira bagi menghasilkan filem yang berkualiti

“Saya sudah mempersiapkan segala-galanya untuk filem ini. Semoga ada sesuatu yang baharu bakal ditampilkan melalui The Chini Saga,” katanya yang sedang menjalani penggambaran filem tersebut ketika ini.

Keyakinan

MENGGUNAKAN pelakon Gabriel Lynch sebagai pelakon utama yang bergandingan dengan naga yang dibangunkan menggunakan teknologi animatronik, ada kelainan yang cuba ditampilkan oleh Pveezi.

Jelasnya, mereka akan menggabungkan antara lakonan sebenar dan imej janaan komputer (CGI) yang dibangunkan seramai 300 tenaga kerja termasuklah pelajar dua buah universiti yang sudah menyatakan persetujuan.

Pada peringkat awal, pasukannya akan menjalani penggambaran plat kosong selama tiga bulan di lapan buah negara terdiri dari Palestin, Norway, India, China, Indonesia, Kemboja dan Langkawi di Malaysia.

Fasa kedua pula akan menjalani penggambaran di studio (green studio) selama tiga bulan lagi yang bakal disertai oleh beberapa pelakon yang sudah mengesahkan penyertaan seperti Mubarak Majid, Yank Kassim dan beberapa nama besar yang masih dirahsiakan sehingga ke hari ini.

Terdahulu,Pveezi menyasarkan untuk menggunakan khidmat Aaron Aziz, Nabil Ahmad dan Raja Ilya namun disebabkan kelewatan penggambaran, semuanya perlu dilakukan sekali lagi.

Filem yang menggunakan bahasa Inggeris hampir sepenuhnya itu juga mendapat usaha sama daripada tujuh negara luar lain dan bakal menyaksikan kemunculan istimewa beberapa pelakon antarabangsa seperti Jackie Chan dan Sonam Kapoor, Rajinikanth yang sudah mengesahkan kerjasama.

“Atas sebab ini saya yakin yang filem ini mampu mengutip sebanyak RM160 juta apabila ditayangkan di beberapa buah negara termasuklah Malaysia, Chini, India dan Eropah. Kita sudah membuat kajian tentang pasaran dan sudah boleh mengagak sambutannya nanti.

“Tambahan pula dengan pembangunan aplikasi dan permainan video yang bakal lancarkan, saya yakin The Chini Saga akan menjadi fenomena dan diterima ramai,” kata Pveezi yakin.