Sebaliknya, menjelaskan keadaan sebenar, Farid memberitahu, dia menghidapi alahan yang menyebabkan kulit di bahagian kakinya gatal akibat terkena hujan buatan bagi menjayakan adegan dalam drama berkenaan.

“Pihak produksi telah sedia maklum tentang hal itu. Saya mengambil cuti sakit memandangkan kegatalan tersebut mengakibatkan kulit saya melecet sehingga menyukarkan saya berjalan.

“Lebih teruk, saya juga berhadapan kesukaran untuk memakai seluar dek luka yang terdapat di kaki.

“Saya sudah pun mendapatkan rawatan di hospital dan doktor memberikan cuti sakit. Bukan saya seorang, malah Nelydia Senrose yang bergandingan dengan saya juga mengalaminya,” kata Farid kepada Utusan Online selepas pelancaran Dewan Perniagaan Artis Malaysia yang dipengerusikan isterinya, Diana Danielle, di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, tegasnya, dakwaan mengatakan dia menghilangkan diri adalah satu tuduhan tidak berasas.

Lafazkan Kalimah Cintamu merupakan sebuah drama bersiri sebanyak 32 episod, hasil arahan pengarah prolifik, Along Kamaluddin dan bakal menemui penonton tidak lama lagi. - UTUSAN ONLINE