Bagi Amy, peranan kelab peminat Amy Mastura Fan Club (AMFC) tidak terbalas dengan kata-kata. Mereka bukan sahaja menjadi penyokong kuatnya malah sudah dianggap sebagai tulang belakang kepada kerjaya seninya sejak 1993.

“Memang benar tidak mudah untuk saya meneroka industri seni tanpa sokongan peminat. Sejak dahulu lagi mereka memang memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi yang tidak mungkin dapat dibalas.

“Setiap kali dengan mereka, saya rasa sangat dihargai. Bukan mudah untuk mencari peminat yang setia sehingga puluhan tahun. Mereka masih setia walaupun usia masing-masing sudah meningkat,” kata Amy tertawa.

Sejak ditubuhkan pada 1994, rata-rata peminat penyanyi ini masih bersekolah ketika itu. Namun seiring dengan masa, mereka yang dahulunya masih bersekolah kini sudah bekerjaya dan mempunyai keluarga sendiri.

Tambah Amy, dia sentiasa menjaga hubungan baik dengan mereka dan pastinya setiap tahun akan mengadakan acara seperti program Raya AMFC bersama Amy Mastura yang berlangsung minggu lalu di Kuala Lumpur.

“Sebenarnya dalam setahun kami akan melakukan acara sekali. Dahulu saya menganjurkan acara untuk mereka tapi sekarang mereka pula yang melakukan segala-galanya untuk saya.

“Apa-apa pun semuanya berbalik kepada kesetiaan dan sebagai manusia biasa saya amat berterima kasih kepada mereka yang masih ada di sisi.

"Pastinya pertemuan kali ini akan diteruskan,” kata Amy lagi.

Pada hari tersebut, lebih 100 ahli kelab peminatnya hadir membawa keluarga masing-masing dan melakukan pelbagai aktiviti menarik sepanjang pertemuan berkenaan.

Gembira

Mengakui yang aktiviti seninya masih ada, Amy bersyukur kerana masyarakat masih belum melupakan namanya walaupun ketika ini muncul ramai penyanyi baharu.

Sebagai orang lama, perkara tersebut disambut dengan kesyukuran memandangkan dia masih mampu mencari rezeki dalam bidang ini.

Ujar Amy, perkara berkenaan tidak membuatkan dirinya leka sebaliknya perlu berusaha keras untuk terus menghasilkan lagi lagu baharu untuk kekal relevan di dalam industri.

“Jika mengikut perancangan memang saya akan mengeluarkan lagu baharu berjudul Kalimah tidak lama lagi. Lagu ini sudah lama dirakamkan dan pastinya mengharapkan akan diterima ramai.

“Cuma saya tak mahu meletakkan sasaran. Cukuplah lagu ini diterima dan diputarkan di kebanyakan stesen radio pun sudah memadai,” katanya yang sebelum ini mengeluarkan lagu berjudul Menari Ler.

Pun begitu, Amy tidak menafikan yang kehidupan ketika ini begitu selesa. Jika tidak terlibat dengan undangan nyanyian mahupun lakonan, dia biasanya akan menghabiskan masa sebagai ibu dan suri rumah.

Jika dahulu dia terpaksa menghadkan aktiviti kerana anak-anak masih kecil, kini dia sedikit bebas memandangkan Adriana, 15, dan Adalia, 10, sudah meningkat remaja dan mampu menjaga diri sendiri.

“Kalau dahulu saya perlu mendahulukan anak-anak kerana mereka masih kecil tapi sekarang tidak lagi. Masing-masing sudah boleh berdikari dan menguruskan diri sendiri.

"Orang kata kalau nak keluar bekerja itu sudah tak jadi masalah besar.

“Namun saya tetap meluangkan masa dengan mereka.

"Dalam fasa ini saya tidak mahu melepaskan mereka bersendirian,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Jawapan Kasih ini lagi.