ELYANA bersama suami, Khairul
Anuar Hussin dan anaknya.

Sama juga hal yang berlaku kepada Elyana apabila semangatnya kian luntur dek mereka yang tidak bertanggungjawab. Tidak mengetahui keadaan semasa dirinya, komen yang ditinggalkan mematahkan semangat juang melawan penyakit.

Kesakitan bertarung dengan kanser limfoma tahap empat bukan perkara yang mudah untuk dilalui. Namun sikap segelintir pengguna media sosial yang membuat teguran melulu membuatkan dia hilang punca.

Ekoran terguris dengan teguran tersebut, Elyana dikatakan memutuskan untuk tidak melakukan sebarang rawatan dan dalam masa yang sama turut menyahaktifkan akaun Instagram (IG) peribadinya.

Usaha Pancaindera untuk menyelami perasaan penyanyi ini bagaimanapun tidak berjaya kerana tahap kesihatan yang tidak mengizinkan. Namun mujurlah suaminya, Khairul Anuar Hussin bersedia berkongsi perkembangan penyanyi berkenaan.

Menurut suaminya dia turut berasa sedih apabila melihat keadaan semasa isterinya. Namun hatinya bertambah pedih apabila membaca komen-komen negatif yang ditinggalkan.

“Sebagai manusia biasa saya pun ada perasaan marah. Kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya apa salah dia sehingga mereka yang tidak pernah bersua muka atau bercakap dengan dia tergamak berkata begitu,” ujarnya membuka bicara.

Tidak mahu terbeban dengan kata-kata mereka, Khairul mengakui yang mereka juga banyak menerima pesanan peribadi daripada peminat tatkala mengetahui keadaan isterinya.

Sebilangan besar daripada mereka mula sedar tentang kesilapan dan kekhilafan dan mahu segera membetulkan keadaan.

“Mungkin ada yang baru sedar mereka melakukan kesilapan. Jadi mereka gunakan platform Instagram untuk memohon maaf walaupun Elyana sudah menyahaktifkan IG ketika ini.

“Pesanan tersebut mereka hantar melalui akaun IG @elofbyelyana yang memohon maaf. Tak mengapalah kalau mereka sudah sedar dengan kesilapan, itu lebih baik,” ujar.

Tambahnya lagi, sebahagian besar mesej yang diterima memohon serta merayu-rayu agar kesilapan yang telah dilakukan dimaafkan oleh penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu.

“Kebanyakan mesej datang daripada 
mereka yang pernah mengecam Elyana. Mungkin mereka dah sedar dengan kesilapan yang dilakukan. Apapun semuanya terserah pada dia,” tuturnya.

Menyentuh tentang perkembangan terbaru isterinya, Khairul mengakui Elyana menyambung kembali rawatan radioterapi selepas menunda dua kali rawatan tersebut sebelum ini.

“Dia sedang berada dalam fasa berehat dan enggan menerima sebarang pelawat buat sementara waktu. Ini kerana setiap kali selesai rawatan, dia terlalu letih dan akan tidur sahaja,” tuturnya lagi.

 

Pinta doa
Umum mengetahui kos rawatan yang ditanggung cukup mahal namun menurut Khairul, baik dirinya mahupun isteri, mereka tidak mengharapkan sebarang bantuan wang ringgit tetapi cukuplah sekadar doa dan kata-kata positif.
“Bukan sombong tetapi aura positif lebih penting bagi dirinya. Kalau nak cakap tentang susah, sebelum ini kami dah rasai semuanya, bukan sekejap dah hampir tujuh tahun dia sakit,” tuturnya.
Menolak isu wang ringgit untuk diperdebatkan, dia hanya mahu memastikan Elyana menikmati makanan berkhasiat, buah-buahan segar serta makanan kesihatan tambahan (suplemen) untuk mendapatkan tenaga.
Jelasnya setiap kali selesai rawatan, Elyana akan mual-mual serta tak berselera makan. Sebagai suami dia akan memastikan isterinya mengambil makanan bagi membekalkan tenaga.
Terdahulu kanser limfoma tersebut sudah merebak di sekitar saraf tunjang dan berisiko untuk lumpuh jika dia tidak melakukan rawatan. Dia kini sedang menjalani radioterapi dan diikuti dengan rawatan kemoterapi bagi mengawal sel kanser daripada terus merebak.
Menariknya walaupun sedang bertarung dengan kesakitan ketika sesi rawatan, dia sempat  menghiburkan pesakit kanser di Pusat Kanser Negara pada pertengahan bulan ini.
“Sebenarnya perjanjian ini sudah dipersetujui dari bulan September lagi tapi tak sangka pula tahap kesihatan dia merosot. Cuma dia ada cakap tetap akan buat persembahan biarpun terpaksa menyanyi sambil duduk.
“Ini satu-satunya tawaran yang dia tidak batalkan kerana tetamu yang hadir pada malam tersebut adalah mereka yang senasib dengan dirinya,” ujarnya.