Kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang juga mengisi kitab lama seperti Tuhfat Al Nafis yang sering kali dijadikan rujukan. Malah beberapa versi lain turut pernah ditulis oleh para pengkaji sehingga ke hari ini.

Mengambil inspirasi daripada kisah tersebut telah memberikan idea kepada Pat Ibrahim untuk mementaskan Bangsawan Dendam Laksamana pada 10 hingga 12 November hadapan di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.

Pastinya ada sesuatu yang menarik perhatian lelaki ini saat mula membaca kembali kisah tersebut. Walaupun pernah ditulis melalui beberapa versi, ada intipati lain yang mampu dikupas dan diperjelas melalui pementasan sulung terbitan syarikatnya sendiri.

“Banyak perkara baharu yang menarik perhatian saya saat mengikuti kisah yang berlaku di antara Sultan Mahmud dan Laksamana Bentan. Mungkin kebanyakan daripada kita sudah mengetahui kisah tersebut namun kupasan tentang perkara berkenaan pasti akan menemukan sesuatu yang baharu.

“Saya tidak mahu mengangkat perkara yang sudah diketahui umum sebaliknya menerusi Bangsawan Dendam Laksamana, tentu sahaja soal politik yang berlaku ketika itu sangat menarik perhatian. Kerana politik yang berlaku ketika itu, perkara yang tidak dijangkakan boleh berlaku.

“Perkara-perkara itu yang menarik perhatian saya untuk diberikan perincian dalam pementasan kali ini. Pastinya pementasan kali ini akan memberikan persepsi baharu kepada semua tentang kisah yang diangkat ini,” tambah Pat.

Melalui beberapa penyelidikan yang dibuat, Pat tertarik dengan kepincangan fitrah manusia saat mereka perlu mengendalikan perasaan sendiri. Soal kesempatan dan soal dendam begitu menarik perhatiannya untuk menyorot kembali kisah yang pernah berlaku kira-kira 318 tahun yang lalu.

Mengambil karya Shahrom Hussain melalui karya Masyhor Malaya sebagai rujukan utama, tanggungjawab mencantikkan naskah ini diberikan kepada Siti Jasmina Ibrahim yang sudah berpengalaman dalam penulisan skrip.

Percaya kepada kemampuan wanita tersebut bermain dengan kata-kata agar dapat disesuaikan dengan bahasa bangsawan agar tidak kelihatan terlalu kekok.

Percaya

BERPENGALAMAN lebih tiga dekad dalam dunia tarian dan pementasan, Pat bukan satu nama yang asing bagi kebanyakan peminat tanah air. Tentu sahaja air tangannya melalui beberapa teater muzikal popular seperti Puteri Gunung Ledang, P Ramlee The Musical, Terima Kasih Cinta dan puluhan naskhah yang lain kekal diingati sehingga ke hari ini.

“Hanya sekarang baru ada keberanian untuk menerbitkan sendiri teater. Sebelum ini saya lebih selesa untuk bekerjasama dengan orang lain tapi dek kerana banyak permintaan yang mahu menghasilkan sendiri produk baharu, saya ambil cabaran untuk menerbitkan teater ini sebagai percubaan pertama.

“Untungnya dalam kekangan bajet, saya beruntung dikurniakan rakan-rakan yang budiman dan sudi membantu. Mereka tidak lokek memberikan bantuan dan tenaga kerja asalkan dapat melibat Bangsawan Dendam Laksamana akan menarik perhatian ramai,” tambahnya lagi.

Walaupun teater ini hanya dilakukan dalam skala yang sederhana jika mahu dibandingkan dengan teater besar sebelum ini, tidak sesekali meminggirkan soal teknikal seperti rekaan produksi, kesan khas, muzik dan busana.

Kesemua elemen berkenaan dititik beratkan dan tidak akan sesekali diabaikan memandangkan perkara berkenaan saling melengkapi antara satu sama lain yang turut sama menentukan hala tuju teater ini secara keseluruhannya.

Menariknya, pementasan di bawah syarikat Pat Ibrahim Project Entertainment (PIPE), mereka turut diberikan bantuan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk menghidupkan semula pementasan bangsawan.

Mempertaruhkan beberapa nama besar sebagai teraju utama, antara yang terlibat termasuklah Pekin Ibrahim, Nadia Aqilah, Megat Sharizal, Anwar Rusdini dan Hamzah Tahir.

Menariknya, Norzizi Zulkifli, Shahrul Mizad dan Fitri Hiswady turut membuat penampilan istimewa dalam teater ini.

Selain itu juga, mereka juga akan menganjurkan Pekan Bangsawan dari 6 hingga 9 November ini di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.