Tun Fatimah
Lokman Ghani 

Begitulah kenyataan jujur yang terbit dari mulut Pengarah, Lokman Ghani apabila menerima maklumbalas penonton yang tidak puas melihat aksi Maya Karin bersilat di atas pentas.

Menjelaskan duduk perkara itu, Lokman berkata, keterbatasan gerak silat aktres itu disebabkan oleh Panggung Bangsawan Melaka yang bersaiz kecil namun Maya telah memberikan satu bentuk persembahan lakonan terbaik apabila bermain di atas pentas teater.

“Saya akui ada membayangkan bahawa pementasan Tun Fatimah akan diperhebatkan dengan langkah persilatan Maya. Ada penggunaan keris yang betul. Dapat melihat percikan api apabila besi bertemu besi.

“Akan tetapi, pihak produksi terpaksa membuat perubahan bagi menyesuaikan pentas Panggung Bangsawan Melaka yang tidak sebesar pentas Istana Budaya yang berprestij,” ujar Lokman kepada Utusan Online.

Walaupun pementasan tersebut sudah berakhir (diadakan dua hari sahaja iaitu pada 20 Oktober dan 21 Oktober lalu) namun teater bangsawan itu yang turut menampilkan aktor Remy Ishak yang mendukung watak sebagai Sultan Melaka dan Ashraf Muslim, pendukung watak Tun Ali (tunangan Tun Fatimah) masih menjadi buah mulut sehingga ke saat ini.

Kata Lokman, beliau berpuas hati dengan persembahan barisan pelakon Tun Fatimah yang mengikut sepertimana yang dirancangkan.

“Alhamdulillah. Saya sebagai pengarah, berpuas hati walaupun saya akui, tidak dapat untuk dielakkan sedikit ‘terkucil’ sana dan sini.

“Namun saya amat berpuas hati dengan persembahan barisan pelakon termasuk Rozaidi Jamil yang mendukung watak Bendahara Mendaliar kerana watak itu menuntut pelakonnya berkarakter,” ujar Lokman.

Kata Lokman lagi, Maya Karin adalah seorang aktres yang bijak dalam menjiwai watak yang diserahkan kepadanya walaupun pada peringkat awalnya, aktres kacukan Melayu-Jerman itu kelihatan sedikit gugup beraksi di atas pentas Panggung Bangsawan Melaka baru-baru ini.

“Biarpun gugup kita perlu faham bahawa Maya Karin bukan Melayu tulen. Saya puji usaha beliau yang bersungguh-sungguh untuk memberikan lakonan pentas terbaik.

“Bukan mudah bagi Maya untuk memahami sepenuhnya bahasa melayu klasik tetapi perkara itu tidak menjadi penghalang bagi Maya Karin untuk mencuba sebaik mungkin dalam menjiwai watak sebagai Tun Fatimah,” ujar Lokman.

Kata Lokman, tiga kriteria yang dicari untuk melakonkan watak Tun Fatimah iaitu cantik, bijak dan tangkas ada pada Maya Karin cuma sedikit kekurangan iaitu tangkas (bersilat) yang tidak dapat dilakonkan dengan sepenuhnya.

“Kita perlu faham satu perkara lagi di sini iaitu untuk bersilat, perlu ada keseimbangan badan yang bagus (body balance). Maya ada keseimbangan itu tetapi beliau hanya mempunyai tempoh tiga minggu sahaja untuk belajar dan berlatih bersilat sebelum pementasan.

“Jadi, semua aktor yang terlibat dalam pementasan ini telah melakukan yang terbaik,’’ kata Lokman mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE