Bakal menerajui siri Mr. Grey menerusi slot MegaDrama bermula Isnin ini di Astro Ria, Fendy atau Mohd. Affandi Nor Bakri berkata, dia lebih rela hidup solo daripada menjalin hubungan dengan mana-mana wanita yang menjadi rebutan ramai lelaki.


“Mengalah bukan bererti kalah. Cuma tindakan itu adalah satu langkah terbaik untuk mengelakkan diri daripada terus ditimpa masalah lebih rumit jika berlarutan,” cerita Fendy secara ringkas mengenai sinopsis Mr. Grey, sebuah karya adaptasi daripada novel berjudul serupa.


Menurut anak kelahiran Kangar, Perlis itu, Mr. Grey adalah produksi drama terbesar pernah saya bintangi sejak mula berlakon kira-kira enam tahun lalu.


Dia yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Hero Remaja 2012 menjelaskan, sebelum ini tidak berpeluang membintangi drama siaran slot utama yang lazimnya mencatat rating tontonan tertinggi oleh peminat drama Melayu.


Enggan mensia-siakan kesempatan itu, Fendy berharap penampilannya kali ini dapat meninggalkan impak kepada penonton setia drama berkenaan. 


Fendy sedari, selama ini dia kurang mendapat publisiti daripada pihak media tetapi tidak menjadikan hal tersebut sebagai satu halangan untuk terus melangkah sebagai anak seni.


“Lagipun, saya tidak terdesak untuk menjaja kisah peribadi demi populariti. Biarlah bakat seni saya didahulukan untuk menarik perhatian semua pihak.


“Alhamdulillah, kebelakangan ini rezeki berpihak kepada saya apabila kerap diberi peranan lebih penting dalam beberapa buah drama secara berterusan.


“Saya bersyukur bakat lakonan saya semakin dihargai dan diri ini kian dikenali,” katanya yang dicalonkan dalam Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME 2018) untuk merebut trofi Artis Baharu MeleTOP.


Mengulas peluangnya untuk mengungguli AME 2018, Fendy tidak meletakkan harapan menggunung kerana sedar kekerdilan dirinya berbanding empat finalis lain iaitu As’ad Motawh, Farah Nabilah, Hannah Delisha dan Wany Hasrita.


Fendy mula dikenali menerusi beberapa drama lakonannya seperti Teksi Love, Kuntom dan Kerna Syurga Bukan Percuma.


Menerusi drama Mr. Grey, dia akan bergandingan dengan Eyra Hazali selaku pasangan heroinnya dan turut menampilkan pelakon lain seperti Shah Iskandar, Gambit Saifullah, Fauziah Ahmad Daud, Lisdawati, Mardiana Alwi serta Rahim Jalani. - UTUSAN ONLINE