Menarik nafas lega, vokalis berasal dari Mersing, Johor ini mengaku senang dengan populariti lagu mendahului namanya sebagai penyanyi.

Katanya, itu adalah perkara positif yang menjadi kayu ukur terhadap kejayaan karya dihasilkan dua komposer dan penulis berbakat, Sirikhan dan Rin Karnaen.

“Sebagai penyanyi, saya gembira dengan populariti dikecapi lagu ini. Penglibatan dalam industri adalah untuk menjual karya, bukan nama. Saya puas, kerana objektif itu tercapai.

“Terima kasih buat pendengar yang menyokong. Maklum balas positif menandakan lagu tersebut berkualiti dan sesuai untuk semua golongan menikmatinya,” katanya kepada .com.

Jika didengar lebih teliti, Terakhir memiliki kekuatan terutama pada bait-bait lirik yang jelas dan menggamit jiwa. Mengulas lanjut, Sufian menyifatkan lagu tersebut sebagai sebuah nukilan istimewa yang membawa pelbagai interpretasi.

“Secara peribadi, korus dalam lagu ini menjadi antara tarikan utama. Melodi santai, sesuai buat semua pendengar pelbagai peringkat usia.

“Tentang lirik, lagu ini mengundang tafsiran berbeza setiap pendengar. Ada yang kaitkan dengan percintaan, tak kurang juga dengan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Bercerita tentang pembabitan awal, Sufian memberitahu, bakat dalam nyanyian menyerlah sejak kanak-kanak lagi. Namun, anak muda yang kini melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana dalam bidang komunikasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, dia mula belajar bermain gitar ketika di sekolah menengah.

“Kemudian, saya terlibat dengan lebih aktif menerusi band, De’ Mahameru semasa menuntut di Universiti Sultan Abdul Idris (uniSZA). Ketika itu, saya bersama ahli yang lain menghasilkan banyak karya secara amatur,” ujarnya.

Disoal tentang haluan kerjaya, Sufian berharap dia mampu bertahan dalam industri seiring dengan karya berkualiti untuk disajikan kepada peminatnya. Katanya, dia amat bersyukur diberi peluang tampil dalam industri dengan kebebasan untuk menentukan arah tuju muzik yang dibawa.

“Muzik adalah universal. Saya mahu corak sendiri hala tuju dalam industri kerana saya seorang yang gemar teroka pelbagai genre muzik. Insya-Allah, jika bertahan lama, saya akan bawa lebih banyak pembaharuan termasuk membawa muzik rancak dan terkini,” jelasnya. – AL FAIZAL