Tentu sekali memperkenal genre muzik baharu iaitu reggaeton memberikan kelainan, lagu itu juga merupakan naskhah yang selama ini diimpikan membuatkan pemilik nama Andi Azrul Andi Mapangile ini melihat langkahnya dalam bidang seni ini sangat bermakna.

Bagaimanapun dalam keterujaan Andi menghadiahkan buah tangan tersebut kepada peminat, terselit jua perkara yang sama sekali tidak diharapkan olehnya.

Dikecam kerana video muzik yang memaparkan model seksi dan isu salah faham mengenai penggunaan loghat Sabah sedikit sebanyak merencatkan keterujaan Andi. Namun perkara yang tidak sedap didengar itu sama sekali tidak membantutkan semangat Andi, sebaliknya jejaka itu memilih untuk memandang ke hadapan dan terus melangkah biarpun perlu melalui laluan berliku.

“Saya tidak pernah rasa putus asa dengan perkara yang berlaku. Bagi saya, situasi tersebut sangat normal apabila bergelar artis. Ada yang suka, ada juga yang tak suka.

“Berdepan situasi seperti ini, saya sentiasa terapkan dalam diri agar sentiasa bertenang. Sebenarnya sebelum bergelar artis lagi saya seorang yang tidak mudah melatah.

“Sifat ini saya tanam dalam diri sehingga kini. Sebelum menurunkan tandatangan kontrak dengan Warner Music, saya sudah membayangkan kemungkinan-kemungkinannya dan saya beritahu kepada diri, apa sahaja yang berlaku selepas ini, saya tidak boleh terlalu cepat melenting.

“Ternyata kemungkinan itu benar-benar berlaku dan saya kotakan janji agar berdepan isu-isu tersebut dengan tenang. Zaman sekarang, majoriti artis memang mudah benar dikecam oleh warganet.

“Lebih menyedihkan, kecaman tersebut kebanyakannya datang daripada budak remaja yang masih bersekolah. Justeru jalan terbaik untuk menangani semua ini adalah dengan berdiam diri dan bertenang sahaja,” jelasnya.

Meskipun Andi menerima kecaman hebat, video muzik Satu Peluang yang dimuat naik hampir sebulan lalu itu mendapat jumlah tontonan yang sangat membanggakan iaitu lebih daripada 2.6 juta tontonan.

Memperoleh angka tontonan sebanyak itu, Andi mengakui, dia sangat berpuas hati sokongan peminat terhadap lagu dan klip video Satu Peluang. Apatah lagi jurang perbezaan yang sangat ketara antara sambutan untuk single pertamanya dahulu dengan lagu baharu ini menambahkan kepuasan.

“Ketika mula-mula diberitahu tajuk lagu serta mendengar muziknya, saya dapat rasakan bahawa ini adalah sebuah lagu untuk saya. Lagu pertama, Tiada Lagi Maaf sejujurnya bukan lagu yang kena dengan jiwa saya.

“Namun saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana ketika itu saya masih bereksperimen.

“Kali ini, saya yakin lagu seperti Satu Peluang yang saya impikan dan paling penting sesuai untuk jiwa saya.

“Buat masa ini saya sangat puas hati kerana jika dibandingkan dengan lagu pertama, terlalu banyak jurang perbezaan terutama dari segi sambutan peminat dan jumlah tontonan dalam YouTube.

“Bagaimanapun saya akan melakukan yang lebih baik sekiranya diberi peluang untuk merakam lagu-lagu seterusnya. Bukan sahaja kerana ingin mengangkat bakat nyanyian malah saya mahu memperjuang genre muzik reggaeton di negara ini,” ujarnya.

Harap tuah 2019

Bulan-bulan terakhir 2018 menyaksikan kerjaya seni Andi bergerak menuju puncak. Bermula dengan penyertaannya dalam program nyanyian Big Stage, Andi tidak henti-henti mengucap syukur dengan rezeki yang tidak putus-putus yang diterima.

Justeru, Andi sentiasa memanjat doa agar ‘pendakian’ ini tidak terhenti di tengah jalan dan berharap 2019 adalah tahun untuknya terus menonjol dan meraih lebih rezeki.

“Saya berjuang dalam dunia seni muzik sejak berusia 18 tahun lagi dan tahun kesembilan barulah perjuangan saya mula membuahkan hasil. Jadi, saya berharap 2019 adalah tahun untuk saya.

“Selepas (pembabitan) Big Stage, saya mendapat rezeki yang tidak dijangka. Saya bersyukur dengan keputusan menyertai pertandingan tersebut walaupun hanya mampu bertahan sehingga minggu ketiga sahaja.

“Ini kerana selepas itu rezeki saya dalam industri seperti sudah disusun dengan baik sekali. Bukan sahaja lagu yang semakin mendapat sambutan malah saya turut diberikan tawaran persembahan yang berterusan,” jelasnya.

Sementara itu, diajukan tentang soal hati dan perasaan, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini mengakui dalam proses mengenal seseorang, namun enggan menjelaskan secara terperinci.

“Buat masa ini saya masih solo tetapi sedang berkenalan dengan seseorang. Setakat itu sahaja yang mampu saya jelaskan. Saya ingin memberi tumpuan kepada kerjaya terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa yang seterusnya.

“Saya tidak meletakkan sebarang ciri yang perlu ada bagi seorang wanita untuk dijadikan sebagai teman wanita saya kerana saya mahu menerima dia seadanya. Saya juga tidak kisah sama ada dia seorang artis atau tidak,” ujarnya ringkas.