Bermula dengan mengacara program kanak-kanak hinggalah ke program yang berbentuk jelajah, bakat pengacaraan wanita berusia 35 tahun ini memang handal.

Dia sendiri mengakui minatnya yang mendalam terhadap dunia pengacaraan tetapi dalam masa yang sama, perlu mencuba cabang lain dalam bidang seni.

“Sekitar tahun 2004 sebenarnya saya sudah mula berlakon drama tetapi sebelum ini tidak serius. Semuanya lebih kepada mencuba sahaja.

“Lagipun, saya sendiri melihat ramai golongan selebriti lain yang cuba meneroka cabang seni lain dan saya juga tidak berkecuali,” jelasnya.

Aktiviti lakonan Azura pada 2004 agak terbantut kerana dia terpaksa menolak beberapa tawaran hanya disebabkan jadual pengacaraan yang padat.

Tetapi baginya, jauh di sudut hati, dia tetap mengimpikan untuk terlibat dalam sebuah filem sebagai seorang pelakon.

Sehinggalah pada 2011, dia terlibat dengan teater muzikal Dreamgirls: The Broadway Musical Sensation yang menyaksikan kemampuannya dalam lakonan.

“Menerusi teater itu, saya perlu melakukan banyak perkara selain berlakon termasuklah menyanyi dan menari. Semua itu adalah percubaan pertama saya dan Alhamdulillah, mendapat pujian yang baik dan bakat saya dilihat oleh pengarah Dyhan Vimal,” jelasnya.

Percaya dengan bakat Azura, Dyhan tahun lalu memberinya tawaran untuk berlakon dalam filem Temuan Takdir sebagai heroin filem berkenaan.

Bagi wanita ini, semestinya dia sangat teruja dengan tawaran itu dan menganggap filem tersebut bakal menjadi langkah pertamanya dalam industri perfileman tempatan.

“Saya sudah cuba pelbagai bidang dan untuk berlakon filem ini pastinya akan menjadi sesuatu yang baru dan menjadi keterujaan buat saya.

“Cuma untuk fokus terus dalam bidang filem, mungkin agak baru. Perjalanan saya masih jauh dan bidang pengacaraan masih lagi jadi keutamaan,” jelasnya.

Temuan Takdir terbitan Zazen Design & Produstion ini akan berada di pawagam seluruh negara pada 11 Ogos depan. - Gambar NOOR AZLINA JAAFAR


Jurutera jadi pelakon

Mungkin ramai yang tidak sedar dengan kelibat Ery Zukhairi dalam industri seni walaupun dia sudah hampir lima tahun bernaung di bawah satu pengurusan artis terkenal tempatan.

Memulakan kerjayanya sebagai seorang model iklan, Ery langsung tidak melepaskan kerjayanya sebagai seorang jurutera industri di sebuah kilang.

Selama 15 tahun bergelar jurutera, Ery atau nama sebenarnya Ery Zukhairi punya sebab tersendiri mengapa dia tidak mahu melepaskan kerjayanya sebagai seorang jurutera.

“Buat masa ini, memang saya tidak akan lepaskan kerjaya sebagai jurutera sebab itu adalah jasa ibu bapa saya menghantar saya pergi belajar.

“Lagipun, pekerjaan saya ini mempunyai masa depan yang cerah jadi buat masa sekarang, tidak berbaloi untuk saya lepaskan,” jelasnya.

Lagipun tambah Ery, penglibatannya dalam bidang lakonan adalah semata-mata kerana minat sahaja dan dia sendiri kerap memilih watak yang diberikan.

Disebabkan faktor pekerjaan sepenuh masa sebagai jurutera, Ery akui dia perlu bijak untuk membahagikan masa dengan kerjaya sepenuh masa dan minatnya dalam lakonan.

Bagi lelaki yang berusia 37 tahun ini, dia akan memilih setiap watak yang ditawarkan supaya jadualnya tidak bertindih antara satu sama lain.

“Sebenarnya, di pejabat ramai yang sudah tahu saya adalah pelakon termasuklah bos-bos besar. Malah, kalau saya ambil cuti, mereka pasti tahu yang saya sedang terlibat dengan penggambaran drama mahupun filem,” jelasnya tertawa.

Jika ditawarkan berlakon, beberapa kriteria diambil kira termasuklah watak itu sendiri dan faktor masa yang ditentukannya.

Ery sendiri tidak mahu mengambil sesuatu watak yang memalukan dirinya dan akhirnya menamatkan kerjaya seninya dalam bidang lakonan.

“Selalunya dalam bidang iklan komersial akan ada watak yang boleh memalukan diri sendiri dan itu saya akan elakkan.

“Kalau dari segi masa pula, saya akan cuba gunakan sepenuhnya hari Sabtu dan Ahad untuk babak yang perlu saya lakonkan,” jelasnya.

Namun, bagi Ery, jika ada masa yang sesuai, dia akan lepaskan kerjayanya sebagai seorang jurutera kepada pelakon, tetapi buat masa ini, belum lagi.

Azura dan Ery merupakan watak utama dalam filem Temuan Takdir.