Bertanyakan secara serius soalan itu kepada juri tetap, Syafinaz Selamat, dia sendiri tidak menafikan tema rock yang menjadi taruhan minggu ini sebenarnya merupakan tugas besar.

Tidak semua boleh menyanyikan genre rock dengan jiwa yang tepat. Biarpun dibantu dengan visual terutama penataan gaya dan gerak laku ‘ganas’ di atas pentas, itu belum menjanjikan persembahan yang baik.

Diaju soalan adakah pemilihan tema rock sebenarnya kurang tepat, Syafinaz tidak menafikan malah tidak mengiakan. Beban peserta bertambah berat kerana persepsi masyarakat yang sukar untuk ditolak.

“Peminat di luar sana tidak mempunyai kepakaran muzik seperti kami yang duduk di kerusi juri. Jadi bagi mereka, rock itu harus berseluar ketat, gaya ganas dan menjerit setiap masa.

“Tetapi rock itu sebenarnya menuntut jiwa nyanyian yang besar. Oleh itu, pemilihan lagu dan memahami lirik itu merupakan elemen yang harus diberi fokus dan keutamaan.

“Kita sedia maklum, semua peserta bukan penyanyi rock jadi mereka mungkin mempunyai kesukaran dalam menyampaikan lagu genre tersebut. Tetapi secara keseluruhan, mereka berjaya memberi persembahan yang baik,” katanya.

Malam Ahad lalu menyaksikan 10 peserta berentap bagi mendapatkan kedudukan sembilan terbaik untuk meneruskan langkah ke peringkat seterusnya. Hadir dengan strategi sendiri, masing-masing mempunyai kehebatan yang jelas terbukti.

Entah apa silapnya, langkah Ewal dalam program itu terhenti pada minggu keempat. Sebaliknya bagi Idayu, dia mengungguli minggu itu dengan jayanya menerusi persembahan lagu Sesal Separuh Nyawa.

Namun pastinya, terlihat setiap peserta bagaikan terlalu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jiwa rock yang tidak semua miliki. Mereka mungkin hebat sebagai penyanyi pop, namun belum tentu untuk rock.

Frasa itu diakui juri jemputan, Joe Wings yang merasakan semua peserta tidak memiliki jiwa rock yang secukupnya. Persembahan menjadi terlalu kosong dan peserta lagaknya terlalu mencuba.

“Genre rock memang bukan semua boleh membawakannya. Begitu juga dengan genre yang lain. Setiap peserta mempunyai kesukaran untuk keluar daripada kepompong genre muzik yang dibawa mereka sehingga kelihatan seperti terlalu mencuba.

“Rock itu bukan hanya daripada gaya pakaian dan juga aksi. Peserta harus menggali jiwa rock dan menyampaikan lagu dengan memahami lirik. Itu adalah kunci kepada persembahan rock yang sebenar,” katanya.

Mengangguk setuju dengan kenyataan kedua-dua juri lain, Datuk Ramli MS juga memberi pendapat keghairahan peserta dalam mengubah susunan muzik mampu menenggelamkan potensi sebenar mereka.

Biarpun pihak juri mahu setiap lagu diubah susunannya, namun itu tidak seharusnya dijadikan alasan bagi peserta ‘mencampakkan’ segala jenis muzik dalam satu-satu lagu.

“Kami memang mahu sesebuah karya itu diubah, tak guna kalau mereka jadi burung kakak tua yang menyanyikan lagu itu mengikut susunan muzik asal. Tetapi mereka harus ubah mengikut kemampuan.

“Lebih besar lagu itu, vokal mereka juga seharusnya setara dengan muzik. Mereka harus mempunyai vokal yang dinamik dan selari dengan muzik. Bila banyak sangat diubah, hilang nilai komersialnya,” katanya.

Diminta mengulas tentang persembahan Idayu yang berjaya meletakkan dirinya di tangga pertama, pemuzik handalan ini menyifatkan Idayu seorang penyanyi yang bijak dalam menyampaikan lagu dalam ruang kemampuannya.

“Dia menyampaikan lagu itu dengan cukup bagus. Dia mengubah vokalnya dalam kemampuannya. Ada peserta yang menggunakan koir tetapi itu semua membazir sahaja.

“Mengulas tentang penyingkiran Ewal, saya tidak tahu dari segi undian. Purata keseluruhan persembahan, peserta merasakan bila ada tema rock kena meneran dan menjerit. Tidak semestinya. Sejujurnya, mereka tidak akan sampai tema rock itu,” katanya. - Gambar NASIRRUDDIN YAZID

Idayu terus melangkah

Meletakkan diri di tangga teratas dalam carta persembahan terbaik minggu ini, Idayu terus membuktikan dia bukan peserta yang seharusnya dipandang ringan. Dia ada strategi tersendiri.

Baginya, apa yang menjadi kunci kejayaan adalah pemilihan lagu yang tepat dan susunan muzik yang tidak berlebihan. Dia mahu mengekalkan keaslian lagu itu namun tetap ada dinamiknya.

“Saya tahu Ramli tidak suka susunan muzik yang berlebihan. Malah, menukar susunan muzik sehingga membunuh lagu itu bukan cara saya. Setiap lagu punya keaslian tersendiri cuma saya perlu ubah sedikit.

“Saya banyak berbincang dengan suami yang juga merupakan seorang pemuzik. Jadi, setiap kali mendapatkan konsep dan susunan muzik, dia selalu menasihatkan saya untuk menyanyi dengan kemampuan dan kesesuaian suara.

“Susah sebenarnya menyanyikan lagu rock ini. Saya kena jaga suara supaya sentiasa ‘bersih’, tidak terkucil. Alhamdulillah, serak itu sudah ada cuma kita kena belajar di mana untuk menggunakannya,” katanya.

Namun pastinya sebagai peserta, tekanan yang dihadapi bukan kepalang. Cuma dia tidak mahu memberi lebih fokus kepada perkara lain sebaliknya perhatian tertumpu kepada kesihatan diri dan suara.

“Tipulah kalau tiada tekanan. Saya kena jaga suara dan kesihatan. Mereka semua penyanyi hebat dan mempunyai strategi sendiri. Jadi saya juga harus bijak mengatur persembahan,” katanya.

Diaju soalan siapakah pesaing terdekatnya dalam AF Megastar, seraya tersenyum Idayu berpendapat, Bob dan Shahir adalah antara nama besar yang mampu menggugat kedudukannya.

“Kalau dari segi kekuatan vokal, saya lihat Bob sebagai antara pesaing yang hebat. Semua tahu kehebatan dia menyanyi bukan? Kalau dari segi persembahan, saya melihat Shahir mempunyai kekuatan di situ,” katanya.

Namun, jauh di sudut hati Idayu, kemunculan semula menerusi program ini memberi rasa puas kepadanya. Dia akhirnya mempunyai platform untuk membuktikan kehebatannya dan kemampuannya.

Kerjaya seni belum ternoktah – Ewal

Langkahnya terhenti pada minggu keempat. Persoalannya, adakah percaturannya dalam menyampaikan lagu Potret nyanyian asal Akim and The Majistret kurang menjadi sehingga dia tersingkir?

Menjawab soalan itu, Ewal sama sekali tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Sebagai peserta program realiti, dia seharusnya menerima apa jua keputusan dengan hati yang terbuka.

Tiada isu tidak berpuas hati, dia memberikan sepenuh penilaian kepada mereka yang menonton. Setiap pandangan dan pendapat itu berbentuk subjektif dan mempunyai impak masing-masing.

“Bila bersetuju untuk menyertai program realiti, saya seharusnya berani dan bersedia untuk menerima sebarang keputusan. Kita tidak boleh cakap keputusan tidak adil, itu adalah muktamad.

“Saya sepatutnya menyanyikan lagu lain tetapi setelah berbincang, lagu Potret yang menjadi pilihan. Kalau boleh saya mahu menunjukkan kelebihan menari. Semua peserta ada vokal yang hebat, jadi saya perlu cuba sesuatu yang berbeza.

“Saya terima komen juri yang mengatakan persembahan saya kurang rock. Dia bagi komen atas penilaian dan kepakarannya. Tapi saya tidak meletakkan itu sebagai alasan,” katanya yang merupakan peserta AF2014 bersama Firman yang bergelar juara ketika itu.

Diaju soalan tidakkah penyingkiran ini akan memberi persepsi berbeza peminat terhadapnya, Ewal menyerahkan perkara itu kepada mereka yang menilai. Namun baginya, kerjaya seni belum ternoktah.

“Kalau hendak cakap sedih itu, mestilah ada sedikit di dalam hati. Cuma tidaklah sampai kecewa menonggeng. Realiti program ini kita tak boleh jangka. Bagus macam mana pun, kita boleh tersingkir.

“Tentang kerjaya, saya rasa peminat sudah bijak dalam menilai. Pentas itu bukan satu tanda penamat sebaliknya peluang untuk muncul semula di kaca televisyen memberikan saya lebih impak.

“Saya mula menyanyi sejak usia kecil lagi. Mungkin tidak sepopular mana namun kerjaya seni saya boleh dikatakan berada di bar yang stabil. Jadi, saya harus terus berusaha,” katanya yang bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.