Telus biar dicemuh

Pengalaman menghuni tirai besi membuatkan jiwa Adzrin Adzhar lebih kuat untuk berkarya

Adzrin (kanan) bersama Tom (tengah) dan Riana Anis yang sama-sama 2
Adzrin (kanan) bersama Tom (tengah) dan Riana Anis yang sama-sama bernaung di bawah Dream Music.

PENJARA Kajang bukanlah satu tempat penginapan yang pernah diimpikan sesiapa jua untuk menghuninya walau untuk satu hari, apatah lagi selama setahun.

Namun, bagi penyanyi yang pernah popular dengan single Pujaan Malaya, Adzrin Adzhar, 29, tatkala dijatuhkan hukuman penjara pada 2011, ia bagaikan satu tabu, walhal ketika itu dia baru sahaja bertapak dalam industri muzik tempatan.

Masih tergapai-gapai membina nama sebagai penyanyi, tiba-tiba dia diuji dengan dugaan berat sehingga menyebabkan dia disumbat ke penjara gara-gara didapati bersalah atas tuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM100 juta tanpa lesen termasuk 360 tuduhan aktiviti pengubahan wang haram melibatkan RM59 juta.

Lebih berat bebanan itu kerana bukan dia seorang, bahkan bapanya Datuk Azhar Sulaiman, 59, serta kakaknya, Noradzma, 38, turut dijatuhkan hukuman sama.

Pun begitu, itu adalah kisah tiga tahun lalu dan Adzrin atau mesra disapa sebagai Yin itu bersyukur kerana seminggu selepas dipenjarakan, dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM500,000 sementara rayuan kesnya didengar di Mahkamah Tinggi Putrajaya.

Sejarah hitam itu benar-benar memberi kesan mendalam terhadap kehidupannya kini.

Lebih menyakitkan, segala yang terjadi ke atas keluarganya disebabkan dalang tertentu yang berniat jahat menjatuhkan empayar bisnes milik bapanya.

“Biarlah hanya tuhan yang membalas segala dosa akibat perbuatannya. Di mata orang mungkin kami sekeluarga nampak jahat, tetapi hanya Allah SWT sahaja yang tahu siapa punya angkara.

“Lepas hukuman dunia tidak bermakna dia terlepas di akhirat. Yang penting, sebagai hamba-Nya, kita jangan lupa untuk menunaikan kewajipan yang telah disyariatkan. Apa yang saya sekeluarga hadapi adalah ujian kecil untuk sentiasa beringat.

“Namun, di sebalik semua itu, saya memperoleh pengajaran setimpal untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang. Pada masa yang sama, sebagai anak seni, ia memberi kelebihan untuk saya terus berkarya menghasilkan lagu-lagu berkualiti,” katanya yang tampil dengan single terbaharu berjudul Petua.

 

Menceritakan lebih lanjut mengenai penghasilan lagu Petua, Yin berkata ia diinspirasikan daripada perkahwinan para selebriti yang sering kali dilihat gagal di mata peminat.

Tidak dinafikan, menurut Yin, ramai artis tanah air yang telah mendirikan rumah tangga akhirnya kecundang separuh jalan. Ada yang tidak sempat mencecah usia setahun.

“Kadang-kadang sedih melihat pasangan suami-isteri yang tidak sempat meraikan ulang tahun perkahwinan mereka. Belum apa-apa, dah bercerai. Bagi yang tiada anak, bersyukurlah. Tetapi kasihan jika ada yang telah beranak pinak. Anak-anak yang menjadi mangsa.

“Bagaimanapun, itu lumrah kehidupan. Ada yang berjaya, ada yang gagal. Terima qada dan qadar dengan hati terbuka serta teruskan dengan perancangan yang lebih teliti,” ujarnya.

Tambah Yin, Petua mengekalkan genre unfolk, irama muzik lama yang diberi nafas moden sesuai dengan gaya muzik terkini.

Liriknya berkisar petua-petua cinta untuk pasangan muda yang mahu mendirikan rumah tangga.

Di samping itu, menjelaskan ‘pemergiannya’ selama empat tahun daripada bidang seni suara tanpa sebarang produk, Yin berkata dia kini merupakan guru vokal secara kontrak di Kolej Vokasional ERT Setapak, Kuala Lumpur.

Tambahan pula, kesnya masih lagi dibicarakan di mahkamah yang membuatkannya tidak menang tangan untuk bergiat aktif sebagai penyanyi.

Kebetulan, sekarang ini musim cuti sekolah, jadi dia menggunakan kesempatan itu untuk melancarkan buah tangan terbaharunya di bawah label Dream Music.

Yakin dengan kualiti yang dipertaruhkannya menerusi Petua, Yin menolak dakwaan dia meniru gaya lagu sebilangan artis tempatan seperti Yuna, Najwa Latif serta beberapa penyanyi lain yang berpaksi kepada jalur muzik yang sama.

Sebaliknya, Yin menjelaskan, sama ada Yuna mahupun Najwa, boleh dikatakan kedua-duanya memulakan karier sama era dengannya iaitu sekitar tahun 2011.

Lagu Pujaan Malaya nyanyiannya, Dan Sebenarnya (Yuna) serta Cinta Muka Buku (Najwa) sama-sama naik suatu ketika dahulu.

“Cuma ketika itu saya dihimpit dengan pelbagai masalah yang membuatkan perjalanan karier sedikit terbantut. Kini saya yakin lagu ciptaan saya, Petua mampu diterima oleh pendengar. Lebih-lebih lagi lagu itu disuntik dengan elemen unfolk yang semakin popular pada masa kini.

“Sebab itu saya tetap meneruskan apa yang telah saya mulakan dahulu. Dan sejujurnya, saya tidak mempunyai sebarang masalah jika dikatakan lagu saya menyerupai Yuna mahupun Najwa.

“Walaupun populariti saya tidak sama jika mahu dibandingkan dengan mereka, biarlah asalkan ketelusan saya dalam berkarya dapat dikongsi bersama peminat dan pendengar muzik tempatan,” katanya berterus-terang.

Yin juga pada masa yang sama tidak kisah jika masih ada pihak mengungkit kisah hitamnya kerana baginya, manusia sebegitu bukannya sesiapa yang berhak mengekangnya daripada terus aktif menceburi bidang seni.

“Dunia ini milik Allah dan hanya Dia yang merancang segalanya. Hidup mesti diteruskan dan saya sama sekali tidak kisah dengan mulut-mulut jahat yang senantiasa menghakimi saya. Biarlah mereka,” ujarnya.

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati