Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tekanan buat pengganti Sham Kamikaze

DARI kiri: Amy (dram), Rahmad (bes), T-Rex (vokalis) dan dua  3
DARI kiri: Amy (dram), Rahmad (bes), T-Rex (vokalis) dan dua sessionist.

Asalnya dia dikenali sebagai vokalis Kamikaze yang berjaya mencuri tumpuan menerusi album Kontroversi pada 2000 terutama menerusi lagu Luhur dan Tawa Dalam Tangisan.

Selepas itu, beberapa album lain dikeluarkan iaitu Inspirasi (2000), Setahun Selepas (2001), Kamikaze 3 (2001) dan The Return (2009).

Namun kelangsungan Kamikaze tidak berpanjangan apabila kumpulan itu tidak lagi menghasilkan sebarang album baharu.

Kesemua anggotanya termasuk T-Rex atau nama sebenarnya Terence Law mengambil keputusan untuk bergerak sendiri membawa haluan masing-masing.

Menurut T-Rex, sepanjang dia tidak terlibat dengan Kamikaze, dia banyak membuat persembahan sendiri dan bekerja di kelab malam.

“Industri muzik sekarang bukan senang. Kalau hendak hidup, saya memang perlu mencari pilihan lain termasuk menyanyi di kelab untuk menyara hidup.

“Sehinggalah baru-baru ini, Rahmad bertemu saya dan meminta saya kembali menyanyikan lagu ciptaannya,” kata T-Rex.

Hasil pertemuan itu menurut T-Rex, terhasil single secara solo pertamanya yang berjudul Tujuh ciptaan Bob Ramada dan Rahmad Kamikaze serta lagu Kasi Pecah ciptaan Bob Ramada dan Asry Hasan.

Menariknya, persembahan T-Rex turut ditemani anggota asal Kamikaze iaitu Rahmad dan Amy.

Ditanya sama ada kemunculan mereka memberi kemungkinan bahawa Kamikaze akan muncul semula, jelas Rahmad, itu terpulang pada waktu dan ketentuan akan datang.

Menurut Rahmad yang bertindak selaku pemain bes Kamikaze, yang dilakukan bersama-sama T-Rex ini adalah untuk mengubati kerinduan peminat Kamikaze.

“Memang persembahan T-Rex akan ditemani saya dan Amy tetapi itu hanya untuk mengubat kerinduan peminat sahaja.

“Kami hanya bertindak selaku pemuzik sokongan di belakang persembahan T-Rex. Dia tetap akan bergerak secara solo seperti yang dirancangkan,” katanya.

Tambah Rahmad lagi, nama Kamikaze memang sangat sinonim dengan Sham yang bertindak selaku pemain gitar dalam kumpulan mereka.

Bukan setakat dikenali, kemampuan dan kedudukan Sham dalam kumpulan Kamikaze juga bukan sesuatu yang boleh diganti sesuka hati.

“Ramai yang sudah tahu, Sham sekarang memilih untuk hidup dengan caranya dan kami juga tidak mahu memaksa dia untuk terlibat dengan Kamikaze.

“Kita sendiri pun tidak tahu apa yang akan terjadi pada Kamikaze pada masa hadapan sedangkan peminat sudah bertanya.

“Jadi saya fikir yang kami lakukan sekarang adalah terbaik untuk semua pihak. Kami juga tidak mahu isu lain timbul sesama anggota seperti yang berlaku pada kumpulan lain,” jelasnya.

Sham merupakan pengasas utama kumpulan Kamikaze. Dia juga yang bertanggungjawab mengumpulkan kesemua anggota kumpulan itu bermula dengan T-Rex dan diikuti Amy serta Rahmad.

Bagi Rahmad, jika Sham memberi kebenaran untuk mereka menggantikan tempatnya, sudah pasti itu akan memberi tekanan kepada penggantinya.

“Apabila kami anggota Kamikaze muncul, peminat akan bertanya di mana Sham. Jadi, kami risau jangkaan peminat kepada penggantinya akan jadi tinggi.

“Sudah pasti perkara ini akan memberi tekanan kepada anggota baharu itu. Kalau boleh, biarlah Kamikaze itu kembali dengan kehadiran Sham sendiri.

“Itu lebih adil untuk semua termasuklah kepada peminat yang merindukan lagu-lagu lama Kamikaze,” jelasnya.

 

Kena tular baru popular

Melihat kepada gaya industri muzik, kualiti suara bukan lagi sesuatu yang diutamakan apatah lagi kini semakin ramai yang bergelar penyanyi walaupun kemampuan sebenar vokal mereka meragukan.

Perkara itu menurut Rahmad yang sudah 30 tahun berada dalam industri muzik adalah sesuatu yang perlu dielakkan jika mahu industri muzik tempatan terus ke hadapan.

“Lihat sahaja penyanyi yang dikenali sekarang. Rata-ratanya adalah kerana mereka tular dan bukannya kerana kualiti lagu dan suara yang disampaikan. Ini sesuatu yang agak tidak adil.

“Takkan kami selaku artis-artis yang sudah lama kena lakukan sesuatu yang tular baru dapat menempatkan lagu baharu dalam industri tempatan?” soal Rahmad.

Menurut Rahmad, satu ketika dahulu, untuk bergelar seorang penyanyi memerlukan usaha yang keras dan kemampuan vokal yang baik sebelum layak muncul dengan lagu sendiri.

Tetapi sekarang bagi Rahmad, apa sahaja boleh dilakukan dengan wang. Jika ada duit, sesiapa sahaja boleh memiliki lagu sendiri tanpa mempedulikan sama ada individu itu boleh menyanyi atau tidak.

“Memang kita ada ramai pelapis penyanyi sekarang. Tetapi jika begini kita hasilkan penyanyi, ini sesuatu yang tidak baik terutama dari segi industri muzik tempatan.

“Apabila industri muzik kita sendiri ketinggalan, sudah pasti ini akan merugikan ramai pihak dan perkara itu perlu diperbaiki dari sekarang lagi,” jelasnya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan