Seniwati Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy menjelaskan, peringatan itu dizahirkan bukan kerana dia cemburu atau dengki dengan populariti yang diperoleh apabila sesebuah karya itu diadaptasi.

Bagi Ogy, lakon layar daripada novel kepada filem mengambil masa yang panjang dan tidak boleh dilakukan pada waktu singkat kerana jika berlaku hanya akan menghilangkan jiwa karya asal tersebut.

“Adaptasi daripada novel ke filem ini telah bermula sejak tahun 50-an lagi cuma masa kini saya melihat pendekatan yang digunakan amat berbeza sehingga lari daripada karya asal novel.

“Stesen televisyen mungkin ada sasaran mereka sendiri tetapi sebagai pengarah janganlah kita terlampau mengikut sehingga hasilnya tidak menepati tahap piawaian,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Yuya Yuya di Pesta Buku Selangor 2017 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Pada masa sama, Ogy berpendapat, lambakan filem atau drama adaptasi novel ini hanya menjadikan industri seni bertambah nazak.

Katanya, sememangnya novel-novel yang dipasarkan masa kini yang bergenre romantik itu dan penerbitan sedemikian hanya sesuai untuk dibaca, bukan untuk diadaptasi.

“Tajuknya sahaja tidak merangsang minda dan kesudahan cerita yang kita boleh jangka. Kita tidak menentang mereka membuat novel seperti ini tetapi kewujudannya hanya menyeksa minda insan seni dan pemikir yang mahukan industri lebih kreatif dan berjaya.

“Sesebuah karya seni seharusnya dirasai dan tidak boleh diungkap dengan kata-kata sahaja,” tegas pewaris seni seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan seniwati Allahyarham Datin Saadiah ini lagi.

Bagaimanapun sebagai orang lama dalam industri, Ogy optimis bahawa situasi tersebut dapat diubah dan hanya individu bergelar insan seni sahaja yang mampu mengubahnya.

“Kita memerlukan insan seni untuk mengubah situasi ini walaupun akan melalui proses yang amat sukar,” ujarnya.- Gambar SHAHARANI SAIBI


Bakal terbit buku biografi

MELIHAT ramai insan seni sama ada yang lama mahupun mula bertatih dalam industri seni menghasilkan buku atau bait kata-kata, Ogy juga terpanggil untuk menerbitkan sebuah naskhah biografi tentang dirinya sepanjang penglibatan dalam bidang seni.

Katanya, kejayaan bekas wartawan hiburan tempatan seperti Abie Abdullah menghasilkan buku bertajuk Yuya Yuya menambah kekuatan kepadanya untuk menerbitkan buku.

Jelasnya, penerbitan buku itu masih lagi dalam perancangan dan memerlukan penelitian terperinci.

“Terus-terang sememangnya saya mahukan buku saya sendiri untuk berkongsi pengalaman dan suka duka sepanjang bergelar insan seni.

“Melalui buku ini, saya mahu semua orang lebih mengenali siapa diri ini kerana insan bernama Ogy sering disalah tafsir dan diberi pelbagai andaian,” katanya.

Malah kata Ogy, dia juga bersedia memberi kebenaran sekiranya terdapat pihak yang ingin menterjemahkan bukunya itu dalam bentuk filem.

“Saya boleh memberi kebenaran cuma perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan kerana melakonkan watak Ogy bukanlah perkara mudah berikutan diri ini mempunyai ramai haters atau pembenci.

“Sebenarnya saya menghormati haters kerana mereka juga memberi kekuatan kepada kita untuk terus berkarya.

“Tetapi untuk menghadapi mereka hanya ada dua sahaja sama ada berkawan atau mengabaikan sahaja,” katanya sambil tersenyum.