Kali pertama menggunakan khidmat pelakon profesional daripada Seni Teater Rakyat, muzikal tersebut yang diterbitkan oleh Actors Studio Academy meletakkan harapan tinggi agar ZZAS mendapat sambutan hangat penonton terutama ibu bapa yang mahu mendidik anak-anak menerusi medium hiburan.

Pengarahnya, Omar Ali ketika ditemui berkata, hari pertama ia dipentaskan sengaja diadakan pada hari cuti umum iaitu sempena perayaan Thaipusam bagi memberi kesempatan kepada ibu bapa yang mahu memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti berfaedah.

“Walaupun ia satu tempoh percutian yang panjang bermula Sabtu hingga Selasa bagi penduduk di sekitar Lembah Klang, kami mengambil risiko mementaskannya pada hari Thaipusam.

“Lazimnya, cuti empat hari akan diuntukkan sepenuhnya bercuti ke tempat-tempat pelancongan atau pulang ke kampung. Tetapi saya yakin ada keluarga yang memilih untuk menghabiskan masa cuti di sekitar Lembah Klang.

“Jadi, ia masa yang sesuai untuk membawa anak-anak menonton persembahan ini yang sesuai untuk seisi keluarga. Tema haiwan dan alam sekitar yang diketengahkan amat bersesuaian dengan mereka,” katanya.

Tambah Omar, muzik dan lagu yang mengiringi muzikal berkenaan juga bersifat mesra pendengar. Ia dicipta khas untuk pementasan tersebut dan bait-bait liriknya mudah diingati kanak-kanak.

Menurutnya lagi, pementasan ZZAS merupakan yang pertama dipentaskan oleh pelakon profesional memandangkan sebelum ini Actors Studio Academy lebih kepada akademi latihan teater.

“Teater yang dipentaskan sebelum ini adalah sebahagian silibus pembelajaran, bukannya komersial. Pelakon-pelakonnya juga adalah para pelajar yang mengambil kursus di akademi. Cuma kali ini sengaja membuat kelainan bagi tahun 2015. Idea ini dicetuskan sendiri oleh Penerbit Eksekutif, Datuk Faridah Merican,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, penganjur turut menawarkan tawaran menarik kepada pihak sekolah yang membawa rombongan murid-murid melebihi 30 peserta menyaksikan pementasan ZZAS.

Katanya, sekolah yang berbuat demikian layak mengikuti bengkel percuma anjuran Actors Studio Academy untuk murid-murid yang terlibat.

Bagi peminat muzikal tanah air, tiket pementasan ZZAS boleh dibeli dengan harga RM33 di laman pautan www.ticketpro.com.my atau www.klpac.org.