Pementasan teater yang diarahkan Syarifah Noor Batrisya itu mengangkatkan kisah suka duka pelakon yang bergelar seniman dan seniwati dan sewaktu pementasan diadakan Isnin lalu, ia mendapat perhatian ramai pihak.

Ujar pengolah naskah tersebut, Nizam Yamin, Opera Primadona mendapat pujian daripada pihak pentaksir dan penonton kerana idea naskah tersebut adalah berat namun mampu dibawa oleh para pelajar walaupun kesemua mereka masih berada di tingkatan tiga.

"Pementasan ini melibatkan 72 pelajar daripada empat bidang yang berbeza seperti teater, muzik, tarian serta visual dan kesemua mereka ditaksir bagi tujuan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

"Selain itu, pementasan ini turut melatih mereka untuk terus meningkatkan potensi diri dalam berkomunikasi serta lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai," katanya kepada Utusan Online, baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang teater Opera Primadona, Nizam memberitahu ia mengisahkan tentang watak seorang anak kampung bernama Kejora dan dia diambil oleh seorang pengarah, S. Kadaris untuk diasah bakatnya bagi menjadi pelakon.

"Namun begitu, kehadiran Kejora tidak disenangi isterinya, Kecubung kerana Kejora dianggap akan menggugatnya reputasinya sebagai primadona tersohor. Dalam masa yang sama, kumpulan di bawah arahan S. Kadaris turut berdepan dengan perpecahan kerana sikap buruk manusia.

"Teater ini juga mengajar seseorang bahawa sikap negatif seperti sombong dan pentingkan diri sendiri selepas menjadi popular perlu dijauhi kerana ia boleh memakan diri sekali gus memusnahkan impian yang telah dibina selama ini," katanya.

Teater Opera Primadona menampilkan barisan pelakon muda seperti Jiha Hisyam, Wan Auni, Daniel Qayyum, Fatin Najlah, Khairun Amani serta ramai lagi. - UTUSAN ONLINE