Felo Penyelidik Kanan INTAN, Dr. Ahmad Zairy Mohd Soieb berkata, penceritaan teater itu hasil kajian pelbagai sumber selari dengan konsep kesejahteraan masyarakat bertunjangkan agama dan nilai budaya berintegriti yang menjadi fokus pembangunan negara pada tahun ini.

Katanya, Teater Perkhidmatan Awam itu telah melibatkan penjawat awam bukan Melayu selain membina jaringan kerjasama dengan 90 orang penjawat awam dan pelajar dari 35 agensi.

"Pementasan teater tahun ini merupakan sebuah persembahan amal di mana hasil kutipan sumbangan masuk akan digunakan oleh Kelab JPA untuk membiayai pembelajaran masyarakat luar bandar dan orang asli.

"Kita juga mahu memperkasakan perkhidmatan awam melalui pembangunan budaya kreatif dan kebolehan berfikir di luar kotak agar penjawat awam boleh mempertajamkan kebolehan masing-masing dalam bidang tertentu." ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Ahmad Zairy yang juga penulis skrip Teater Lajang Peraja memberitahu, pihaknya turut mendapat kerjasama beberapa pihak bagi menjayakan pementasan teater itu nanti.

"Kita dapat kerjasama srategik antaranya daripada Istana Budaya, Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)," ujarnya.

Menurut Dr. Ahmad Zairy, teater itu ditayangkan pada 6 Disember nanti dengan melibatkan dua sesi pementasan.

"Kita ada dua sesi iaitu pada pukul 3.00 petang dan 8.00 malam dengan harga tiket RM5 bagi kakitangan awam dan RM10 bagi mereka yang bukan kakitangan awam," ujarnya. - UTUSAN ONLINE