Selain itu, teater bertemakan fantasi ini turut menitik beratkan sikap kurang elok seperti enggan mendengar nasihat orang tua yang lebih berpengalaman perlu dihindarkan.

Menurut Nursyamimi Nadia Norazman yang merupakan pengarah teater tersebut, pementasan yang dilakukan ini adalah sebahagian daripada projek Pentas Teater Karya 2017.

“Projek anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Johor itu menampilkan sembilan produksi teater dan produksi SSeMJ dipilih untuk melabuhkan tirainya,” ujar Nursyamimi dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, Lucy Annisa Gawis yang menulis naskah ini berkata, teater Bermain Di Waktu Maghrib adalah karya fantasi.

“Teater ini mengisahkan tentang dua adik-beradik iaitu Nori dan Karim yang suka bermain di tepi tasik namun pada suatu hari, mereka berdua mengabaikan larangan neneknya dan bermain sehingga senja.

“Ekoran kedegilan itu, mereka terperangkap dalam sebuah alam yang aneh dan terpaksa berdepan dengan pelbagai makhluk yang aneh serta cabaran yang sukar sebelum berjaya keluar ke alam nyata,” ujarnya.

Teater kanak-kanak Bermain Di Waktu Maghrib ini yang dipertontonkan mulai 2 dan 3 Februari di Auditorium Jotic, Johor Bahru ditunjangi barisan pelakon cilik tempatan seperti Wan Nur Aiqal, Hariz Lutfi, Syaheera Nor serta Hani Nadhirah.

Tiket dijual pada harga RM5 namun bagi orang ramai yang tidak berkesempatan menempahnya, boleh mendapatkan sewaktu hari pementasan berlangsung sekiranya masih ada atau terus menghubungi Naquiyah di talian 017-7017709 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN ONLINE