Selepas lebih sedekad berada dalam industri seni, pengalaman yang dilalui berjaya memacu karier seni pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak ke tahap yang tinggi.

Namun dalam kehebatannya sebagai pelakon filem dan drama, Tiz tidak berselindung tentang kelemahannya.

Menurut pelakon yang mula dikenali menerusi drama Nur Kasih ini, diminta berlakon di atas pentas teater adalah perkara yang paling ditakutinya.

“Sebenarnya sejak dahulu lagi saya ada stage fright. Sebab itulah sampai sekarang saya tidak pernah dan belum bersedia berlakon teater.

“Adakalanya teringin juga untuk mencuba tetapi ketakutan mengatasi keinginan itu. Apabila berdiri atas pentas, nampak cahaya dan melihat penonton di depan mata, saya akan gementar sehingga boleh hilang suara.

“Lebih menakutkan, saya pernah terdengar cerita ada pelakon teater yang kena rasuk bila berlakon di pentas. Ia membuatkan saya lebih takut dan tidak yakin untuk bergelar pelakon teater,” cerita Tiz lagi.

Disebabkan perasaan takut yang dialaminya, Tiz yang muncul dalam filem Kolestrol vs Cinta baru-baru ini mengakui dia terpaksa menolak banyak tawaran yang dihulurkan kepadanya.

Meskipun pernah mendapat tawaran watak besar daripada Puan Sri Tiara Jacquelina dan Erma Fatima, Tiz tetap tidak berani menerima tanggungjawab tersebut.

“Kerana terlalu takut dan tidak yakin berlakon teater, saya terpaksa menolak banyak tawaran yang diberikan. Tawaran yang diberikan bukan calang-calang. Saya pernah ditawarkan berlakon dalam teater Natrah dan Tun Siti Hasmah.

“Saya menolaknya tanpa fikir panjang. Kalau ikutkan memang saya rasa sangat rugi dan menyesal tetapi apabila difikirkan kembali, tidak elok saya menerima sesuatu tawaran sekiranya tahu saya tidak dapat melaksanakannya dengan baik dan belum bersedia.

“Jika saya terima, saya bukan sahaja akan menyusahkan diri sendiri tetapi juga banyak pihak lain. Sebenarnya saya pernah menghadiri sesi uji bakat teater. Selepas melalui uji bakat tersebut, saya terus tarik diri,” jelasnya. - Gambar FAISOL MUSTAFA

Hanya kawan 

Lari daripada topik kerjaya, wanita berusia 29 tahun ini seakan sudah bersedia tatkala diminta mengulas mengenai gosip dirinya dengan seorang jejaka yang ditulis di ruangan pojok sebuah portal hiburan.

Baru-baru ini, Tiz dikatakan pergi menonton wayang bersama jejaka tersebut. Malah mereka juga hadir bersama dalam sebuah majlis tayangan perdana baru-baru ini dan Tiz dikatakan menutup wajahnya. Tiz tidak menafikan cerita itu namun Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2016 ini mengakui lelaki yang dimaksudkan itu merupakan salah seorang kawan baiknya.

Tambahnya, saat dia menceritakan kepada temannya itu tentang gosip yang tersebar, jejaka bernama Kudin hanya tergelak.

“Saya sudah menjangkakan berita tersebut akan keluar. Sebenarnya, saya bukan sengaja mahu menutup muka tetapi disebabkan ketika itu terlalu ramai orang, jadi saya segan untuk menunjukkan wajah.

“Manakala jejaka yang dimaksudkan itu adalah salah seorang kawan baik saya dan nama dia Kudin. Kami keluar menonton wayang beramai-ramai dengan kawan yang lain juga.

“Selepas kejadian itu, saya tahu ada gosip tentangnya. Apabila saya beritahu Kudin, kami berdua hanya tergelak. Dia faham situasi tersebut dan tidak kisah dengan gosip yang tersebar.

“Buat masa ini, saya memang belum mempunyai teman istimewa. Kalau boleh, tolonglah carikan seorang untuk saya,” ujar Tiz sambil ketawa.