Memiliki sebuah banglo yang dibina ketika era penjajahan British, kediaman dengan 13 buah bilik itu diubahsuai oleh penyanyi tersebut agar mampu menjana pendapatan.

Ketika bertandang ke studio Utusan baru-baru ini, Nadia memberitahu kediaman dengan reka bentuk Inggeris itu adalah milik keluarganya yang diwarisi turun temurun.

“Pada 2009, kami sekeluarga berbincang untuk mengusahakan perniagaan ini. Beberapa pengubahsuaian dilakukan agar ia nampak cantik di mata pengunjung serta lengkap dengan kemudahan asas.

“Alhamdulillah, ia semakin mendapat sambutan memandangkan keunikan yang terdapat dalam seni binanya. Begitu juga keadaan sekeliling yang disajikan pandangan hijau mata memandang dek kesegaran kebun teh yang mengelilinginya.

“Dua faktor itulah yang membuatkan Timah’s Motel menjadi pilihan pengunjung untuk bermalam serta diberikan harga berpatutan mengikut pakej yang disediakan kami,” ujar Nadia yang menjadikan perniagaan itu sebagai sumber utama sejak bercerai dengan suaminya pada 2010, apatah lagi terpaksa membesarkan dua anaknya, Arif, 12, dan Farah, 8.

Tambah Nadia yang tersingkir di minggu keempat program realiti Gegar Vaganza, perniagaan tersebut diuruskan bersama beberapa orang ahli keluarganya serta mempunyai beberapa kakitangan.

“Saya bersyukur kerana perniagaan ini begitu memberangsangkan walaupun tiada publisiti selain hanya mempromosikannya di laman sosial. Itupun pengunjung yang berkongsikan gambar ataupun maklumat motel di akaun laman sosial masing-masing.

“Ikutkan laman sosial motel ini sudah lama diwujudkan, tetapi tidak diselenggara dengan baik disebabkan kesibukan menguruskan perkara lain. Tapi apapun, kami berterima kasih kepada pengunjung yang telah menguar-uarkannya kepada umum,” katanya.

Terkenal sebagai seorang penyanyi dan juga komposer, Nadia akan mencatur perjalanan seninya pada 2015 dengan lebih teliti agar usahanya melakukan penampilan semula benar-benar menjadi.

Ujar wanita yang pekat dengan telor Sabah itu, tujuh buah lagu telah dihasilkannya sendiri, salah satunya hasil kerjasama dengan seorang komposer muda Indonesia.

Kata Nadia, dia optimis untuk mencorak karier seninya dengan lebih berjaya.

“Saya sendiri telah menghasilkan enam buah lagu. Sebuah lagu lagi diberikan oleh seorang komposer seberang yang mahu dikenali sebagai Pian. Kami hanya berkenalan di laman sosial apabila dia menyuarakan minat untuk menyumbangkan lagu buat saya.

“Bagaimanapun, saya akan melancarkan satu persatu lagu-lagu tersebut sebagai single pada tahun hadapan selewat-lewatnya Februari. Diharap usaha keras saya untuk kembali aktif mewarnai persada muzik tempatan berbaloi.

“Tiga buah lagu iaitu Seribu Kali, Kawan dan Dua Hati sedang diteliti untuk dijadikan single pertama. Jika ada persembahan pentas, saya akan bawa ketiga-tiga lagu ini dan meminta maklum balas pendengar sebagai rujukan sendiri sebelum memutuskan lagu mana yang akan dipilih,” jelasnya.

Pada masa sama, menurut Nadia, dia tidak mahu kehadiran semula dirinya dengan lagu baharu menutup populariti Salam Untuk Kekasih.

Katanya, lagu itu mempunyai peminat tersendiri serta memiliki nilai sentimental yang harus dikekalkan.