Sejak bergelar pelakon, Taufiq mula menjadikan gimnasium sebagai salah satu tempat yang wajib dihadirinya untuk memiliki tubuh badan yang kental dan sihat.

“Saya pernah gemuk suatu ketika dahulu dan sering diketawakan orang. Berat badan mencecah 105 kilogram tetapi sekarang berat saya, 78 kilogram.

“Tidak susah sebenarnya hendak kurus secara sihat. Pokok pangkalnya berbalik pada diri sendiri,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Taufiq yang kini sibuk menjalani latihan ala tentera berkata, selain ke gimnasium, dia amat menitikberatkan pemakanan dengan tidak mengambil makanan bergula dan berlemak.

Gaya hidup itu membantu dia memiliki bentuk badan yang tegap, selain cergas bagi menjalani latihan ala ketenteraan.

Tambahnya, persiapan itu dilakukan bagi menjalani pengambaran sebuah filem yang diadaptasi daripada kisah benar yang pernah mengemparkan Malaysia suatu ketika dahulu.

“Ia mengenai insiden rampasan kapal kontena milik Malaysia oleh lanun Somalia yang berjaya ditangkis oleh Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Taufiq berkata, dia juga kini sedang berusaha menyiapkan tesis bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perfileman dan televisyen di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Katanya, tesis yang mengkaji tentang strategi pemasaran filem di Malaysia itu adalah salah satu syarat bagi membolehkan dia menerima ijazah pada majlis konvokesyen yang dijangka hujung tahun ini.

Tambahnya, melalui tesis yang disediakan itu, dia melihat bagaimana filem yang dibintanginya sebelum ini, Ola Bola berjaya dipasarkan dan menerima sambutan ‘pecah panggung’, selain meraih kutipan sehingga RM16 juta sepanjang ditayangkan pada 2016.