Tidak kisah jika ada peminat yang melabelkannya dengan gelaran simbol seks, Tasha akui, bukan mudah baginya untuk menutup mulut orang lain yang ingin mengkritik cara penampilannya.

“Bukan semua orang sukakan saya. Cuma yang boleh saya lakukan adalah tidak ambil peduli tanggapan negatif khalayak.

“Perkara remeh-temeh seperti ini tidak lagi menarik perhatian saya kerana ada hal lebih penting untuk diberi perhatian,” ujar pelakon drama bersiri Air Mata Syurga itu.

Tasha berkata demikian ketika ditemui usai menghadiri majlis pelancaran drama 30 episod arahan Raja Ahmad Alauddin itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Tasha, siri terbitan Darkwave Pictures Sdn. Bhd., itu turut menampilkan pelakon lain seperti Afiq Muiz, Haliza Misbun, Ellie Suriaty, Normah Damanhuri dan Hafizuddin Fadzil.

Sementara itu, menurut Tasha, dia juga malas untuk memikirkan perihal cinta kerana lebih gemar fokus terhadap karier seni lakonnya yang kembali berada di landasan terbaik.

“Alhamdulillah, kerjaya lakonan saya berada pada tahap yang baik untuk diberi keutamaan. Soal cinta, biarlah hal itu difikirkan kemudian,” katanya ringkas. – UTUSAN ONLINE