Bakal bertolak ke Pulau Okinawa, Jepun selama lima hari bermula 12 Mac ini bagi mengikuti lawatan ke kilang pembuatan produk berkenaan, Tasha ternyata teruja untuk memikul tanggungjawab baharu.

“Sejak remaja lagi, saya adalah pengguna setia produk SK-II kerana ia begitu efektif dalam menjaga kulit muka mahupun badan.

“Bagaikan tidak percaya, akhirnya saya berpeluang mendapat tawaran tersebut memandangkan sebelum ini ramai selebriti antarabangsa yang pernah menjadi jurucakapnya,” katanya kepada UTUSAN ONLINE.

Tasha berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Anugerah Tribute P. Ramlee yang diadakan di The Boulevard, di sini hari ini.

Menambah mengenai aktiviti yang bakal dilakukannya di negara matahari terbit itu, Tasha memberitahu bahawa dia akan menjalani penggambaran video promosi produk berkenaan di sana.

“Selain itu, penganjur juga telah mengatur beberapa aktiviti lain buat saya serta dua lagi wakil Asia iaitu selebriti dari Indonesia dan Singapura yang turut dilantik selaku jurucakap negara masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, pada majlis anugerah yang akan berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada 4 Mac ini, Tasha dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Biar Biola Berbicara.

Selain telefilem berkenaan, sebanyak 14 naskhah lain turut bersaing dalam sembilan kategori yang diperkenalkan mempertaruhkan nama-nama hebat penggiat seni tanah air. - UTUSAN ONLINE