Anuar Zain, Bunga Citra Lestari dan Yuka Kharisma, masing-masing mempunyai jiwa muzik tersendiri. Tidak hairan, apabila konsert yang menggabungkan mereka bertiga ini diumumkan, ramai yang tersenyum besar.< /p>

Tidak banyak yang perlu dirungkai atau dipromosikan. Menjual nama sahaja sudah cukup untuk meyakinkan penonton mereka tidak akan pulang hampa. Sebaliknya, pasti senyuman menjadi bekalan memori.

 

Yuka gementar campur teruja

MENJADI ‘adik bongsu’ dalam hierarki pengalaman seni antara ketiga-tiga mereka, Yuka Kharisma mengakui perasaan gementar sudah mula menyelinap ke dalam setiap nadi-nadinya.

Yang menjadi obor membakar keberaniannya untuk bergabung suara dengan kedua-dua penyanyi hebat itu adalah demi mengutip ilmu dan pengalaman beraksi pada satu pentas.

Malah sebagai penganjur pastinya Yuka tidak hanya mempertaruhkan bakat seninya malah dia juga perlu memastikan konsert itu bukan sekadar berjaya dari segi jualan tiket tetapi juga kepuasan peminat.

“Memang saya sendiri yang memilih Anuar Zain dan Bunga Citra Lestari (BCL)untuk konsert ini. Selain mempunyai pengikut yang ramai, kehebatan vokal mereka di atas pentas bukan sesuatu yang perlu dipersoal.

“Saya tidak sekadar minat dalam muzik dan menyanyi sahaja tetapi minat dalam mengadakan sebuah konsert juga membuatkan saya berani untuk menggabungkan dua orang penyanyi hebat ini di atas pentas,”

kata anak kelahiran Indonesia yang membesar di Malaysia ini.

Sedar dengan kekerdilan diri jika mahu dibandingkan dengan dua penyanyi hebat itu, Yuka bagaimanapun menjanjikan yang terbaik kepada peminat yang hadir memberi sokongan.

“Saya artis baharu dan mungkin ramai yang meragui keberanian saya. Tetapi sebenarnya, saya sendiri tidak percaya apabila Anuar dan BCL bersetuju untuk mengadakan konsert bersama-sama.

“Memang saya tidak boleh menjanjikan apa-apa tetapi percayalah, saya akan buat yang terbaik. Pemilihan lagu dan juga konsep persembahan memang cukup memberi tekanan tetapi saya teruja,” katanya yang baru melahirkan anak tahun lepas.

Bakal menyanyikan beberapa lagu yang terkandung dalam album baharunya, No. 1, Yuka juga memilih lagu-lagu popular yang menjadi siulannya ketika mula-mula menyanyi suatu ketika dahulu.

“Pastinya lagu-lagu yang popular seperti Ku Bersedia, Hati Berbisik dan lagu baharu, Mati Rasa akan dinyanyikan pada malam itu. Malah saya juga sedang memilih beberapa lagu untuk dijadikan medley,” katanya.

Tiket konsert dijual dengan harga RM2199 (Intimate), RM1599 (platinum), RM588 (diamond), RM488 (gold), RM388 (silver), RM288 (bronze) dan RM188 (regular) selain berpeluang memenangi Iphone 8 dan juga sebuah skuter.

Pembeli tiket Intimate bakal menerima jemputan ke pra parti, barangan konsert, peluang bergambar dengan artis serta laluan VIP manakala pembeli tiket platinum akan menerima jemputan ke pra parti, barangan konsert dan laluan VIP.

Tiket konsert sudah dijual mulai 31 Januari 2018 di www.yuka.com.my atau www.tickethotline.com.my. Tiket juga turut dijual di kaunter Dewan Plenari, KLCC pada 28 April nanti.

 

Anuar Zain teruja kembali beraksi

Sudah lama kita tidak mendengar lontaran vokal hebat daripada penyanyi bersuara emas, Anuar Zain. Barangkali, dia adalah penyanyi yang benar-benar terjaga eksklusivitinya sehingga ramai yang merindu untuk mendengar gemersik suara lelakinya.

Tidak pernah terfikir akan bergabung suara dengan dua penyanyi wanita itu di atas pentas berprestij, Anuar membuka 2018 dengan konsert yang bakal berlangsung 24 April depan.

“Pengalaman yang bakal saya kutip menerusi konsert ini pastinya akan memahat satu memori yang cukup hebat. Malah di pentas Dewan Plenary itu, artikulasi dengan peminat lebih jitu.

“Kita dapat membuat persembahan yang lebih intim dan dekat dengan penoton berbanding di stadium. Saya pun tidak ambil masa yang lama untuk bersetuju dengan konsert ini kerana mereka berdua.

“Apabila berjumpa, kami senang bekerja. Tidak ada persaingan siapa hendak jaga imej lebih atau siapa hendak ke depan. Masing-masing profesional dan tahu kekuatan diri sendiri,” katanya memulakan bicara.

Ditanya apa yang telah membuka hatinya untuk berkolaborasi bersama Yuka selaku penganjur konsert ini, Anuar melabelkan penyanyi itu sebagai anak seni yang cukup berbakat besar.

“Bagi saya Bunga dan Yuka, mereka berdua cukup hebat. Saya sendiri pernah menonton persembahan Yuka dan ternyata dia cukup luar biasa. Dia sepatutnya berada lebih tinggi dari kedudukannya sekarang.

“Dia sangat bagus dan saya lihat, apabila membuat persembahan jiwa muziknya ikhlas dan mudah untuk merasuk jiwa penonton. Sejujurnya, saya tidak sabar untuk bersama-sama mereka menghiburkan peminat,” kata penyanyi yang juga adik kepada Ziana Zain ini.

Bakal mendendangkan lebih kurang 10 buah lagu pada konsert berdurasi lebih dua jam itu, Anuar bagaimanapun tidak mahu dihantui trauma kehilangan suara yang pernah dialaminya tahun lepas.

Bukan mudah kembali yakin untuk menyanyi namun penyanyi berusia 48 tahun ini sudah bersedia untuk kembali beraksi dan mempamerkan vokal hebatnya kepada penonton yang merindukan persembahannya.

“Memang saya trauma tahun lepas. Sebab itu saya mengambil masa yang agak lama untuk benar-benar yakin dengan suara saya. Alhamdulillah, segala-galanya sudah pulih dan vokal saya masih sama seperti dulu.

“Banyak perkara yang berlaku dan memang saya agak tertekan. Sebagai penyanyi, kehilangan suara pastinya memberi tamparan yang cukup hebat. Saya banyak batalkan persembahan kerana trauma,” katanya.

Cukup teruja untuk beraksi dengan kedua-dua penyanyi itu, ini adalah kali pertama Anuar bergandingan dengan dua penyanyi pada satu konsert. Justeru, tidak sewajarnya dia menolak tawaran yang jarang-jarang diperoleh.

“Pastinya akan ada segmen trio. Itu yang membuatkan saya tidak sabar untuk beraksi. Saya sendiri tidak pernah membuat persembahan sebegini, jadi memang cukup teruja.

“Kami akan mendendangkan beberapa buah lagu bersama-sama tetapi kalau tanya lagu apa, jawapannya rahsia. Saya juga akan bekerja dengan pengarah muzik yang cukup hebat, Sze Wan,” jelasnya.