Kilafairy atau Syakila Nisha Jangir, 25, mengakui, genre tersebut sememangnya menjadi pilihan dan kegemarannya sejak dahulu.

Namun ujar anak gadis kepada penyanyi Rohana Jalil ini, dia tidak berpeluang untuk tampil lebih awal dengan lagu berirama seumpama itu memandangkan banyak pihak yang kurang yakin dan tidak percaya dengan kebolehannya menyanyikan lagu bergenre seperi itu.

“Ketika mendengar lagu tersebut buat kali pertama, saya dapat rasa sangat kena dengan jiwa saya. Muziknya sangat menepati cita rasa saya. Saya suka muzik yang membuatkan saya rasa ingin menari.

“Pun begitu, saya tidak diberi peluang untuk merakamkan lagu sebegitu sebelum ini kerana tidak ramai yang percaya dengan kebolehan saya menyanyikannya. Mereka risau sekiranya lagu tersebut tidak boleh dijual,” katanya.

Bagaimanapun syarikat rakaman Pananormal Records dan Lion Music Group (LMG) yakin dengan bakat Kilafairy lantas memberi kesempatan untuknya melebarkan sayap seni muziknya ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sudah lama saya menyimpan keberanian untuk tampil dengan lagu berirama elektronik R&B ini. Selama itu juga banyak pihak yang gentar untuk membantu saya merealisasikannya.

“Berbeza dengan Pananormal Records yang menaruh sepenuh kepercayaan dan yakin terhadap kemampuan saya. Seperti saya, mereka juga berani mempertaruh lagu seperti Put The Word In meskipun sedar dengan situasi industri muzik negara kita sekarang,” jelasnya.

Selain pasaran muzik tempatan, lagu duet dengan penyanyi Hollywood, Sean Kingston dan DJ Aku Ash itu telah berjaya dipasarkan di luar negara.

Menurut wakil Pananormal Records, lagu Put The Word In kini menembusi carta iTunes di beberapa buah negara seperti Indonesia, Taiwan, Filipina dan Belgium.- Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH

Gembira lihat kawan bahagia

Lari daripada cerita tentang lagu, Kilafairy tenang tatkala diajukan tentang perihal peribadi. Dalam nada ceria, gadis manis ini tidak melatah biarpun status dirinya menjadi topik perbualan.

Ditanya adakah dia tertekan melihat beberapa rakan baiknya mendirikan rumah tangga, Kilafairy sama sekali menafikan perkara tersebut. Sebaliknya, pelakon filem Karak ini mengakui, dia sangat gembira apabila dapat menyaksikan teman tersayang hidup bahagia dengan insan tercinta.

“Melihat beberapa orang kawan mengakhiri zaman bujang langsung tidak membebankan hati dan perasaan saya. Keadaan tersebut juga tidak memberi tekanan kepada saya untuk memikirkan soal perkahwinan sendiri.

“Yang pasti, saya sangat gembira apabila melihat mereka semua bahagia. Untuk kehidupan saya pula, buat masa terdekat ini, saya mahu memberi sepenuh perhatian terhadap kerjaya dahulu.

“Soal jodoh belum menjadi keutamaan. Kalau boleh saya mahu mengumpul harta hasil titik peluh saya sendiri terlebih dahulu. Apabila berjaya capai yang saya mahukan, barulah fikir tentang jodoh,” ujarnya.