Album yang belum mempunyai judul tersebut setakat ini mengandungi lima buah lagu yang pastinya mampu mengusik jiwa peminat yang selama ini menunggu kehadiran buah tangan daripada juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) itu.

Diundang ke majlis pradengar lagu-lagu baharunya, Azharina turut berkongsi pengalaman memasuki studio dan merakamkan album tersebut.

Antaranya wanita berusia 32 tahun ini bercerita tentang lagu pertama yang dirakam berjudul Cinta Terbahagi Dua yang baginya tidak sukar untuk disiapkan.

Namun penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini mengakui agak sukar untuk menjiwai bait-bait lirik lagu tersebut kerana dirinya tidak pernah bertukar ganti kekasih.

Ceritanya lagi, bagi menggantikan perasaan tersebut, Azharina memasukkan ‘rasa’ cinta terhadap kerjaya dan keluarga ke dalam lagu itu.

“Lagu Cinta Terbahagi Dua berjaya dirakam dalam masa setengah jam sahaja. Sebelum itu saya diberi masa selama satu jam untuk mendengar demo muziknya.

“Lagu tersebut menceritakan tentang seseorang yang mempunyai dua cinta dan perlu memilih. Ketika disuruh menghayati kisah tersebut sewaktu rakaman, agak sukar bagi saya untuk melakukannya.

“Susah untuk saya menjiwai kerana saya tidak pernah mempunyai dua cinta atau berganti-ganti kekasih sebelum ini. Jadi untuk menghadirkan jiwa dalam lagu itu, saya memikirkan tentang kecintaan saya terhadap kerjaya dan keluarga,” katanya.

Masih berbicara tentang muzik, penyanyi yang begitu sinonim dengan genre balada ini mengakui terdapat perbezaan ketara dalam lagu yang dibawanya antara dahulu dan sekarang.

Ujar penyanyi yang memulakan karier seni seawal usia 14 tahun ini, kematangan suara dan pengalaman hidup sebagai anak seni mencipta kelainan dalam setiap lagu-lagu balada yang dinyanyikannya.

Ternyata, wanita yang selesa membahasakan dirinya sebagai Nina ini tidak berada di satu tahap sahaja sebaliknya sentiasa memberi kelainan dalam hasil karyanya meskipun masih membawakan genre yang sama sejak awal pembabitan.

“Muzik balada sememangnya sudah menjadi jiwa saya. Bukan saya tidak mampu menyanyikan genre lain tetapi saya seorang penyanyi balada. Saya sudah buktikan dalam GV3 lalu yang saya mampu memberikan persembahan untuk pelbagai genre.

“Walaupun tetap dengan balada namun saya yakin muzik saya melalui perkembangan dari segi kematangan.

“Berbelas tahun bergelar penyanyi, saya pastinya semakin matang terutama dari segi suara dan susunan muzik. Begitu juga dengan pengalaman hidup yang turut menyumbang kepada kematangan muzik saya,” jelasnya.

Tiada tekanan

Muncul dengan album kedua berjudul Nina pada 2004, nama Azharina berjaya menggamatkan industri seni dengan mempertaruhkan lagu berhantunya, Elegi Sepi.

Sehingga kini, lagu tersebut masih popular. Justeru, Azharina ditanya adakah kehebatan lagu tersebut memberi tekanan kepadanya untuk menghasilkan lagu baharu yang setanding atau lebih hebat daripada lagu itu.

Jelasnya, setiap kali memasuki studio untuk merakamkan lagu, dia tidak pernah berdepan tekanan. Apabila berada di studio, dia memberikan sepenuh jiwa untuk setiap lagu.

Dia sama sekali tidak memikirkan apa yang bakal berlaku terhadap lagu tersebut kerana setiap rezeki untuk lagu itu adalah di tangan Tuhan.

“Saya tidak boleh nafikan kehebatan Elegi Sepi. Memang sukar untuk mendapatkan lagu lain setandingnya. Pun begitu, saya tidak menjadikan kehebatan lagu itu sebagai penghalang untuk saya mencipta kejayaan bagi lagu-lagu yang lain.

“Sama ada lagu-lagu lain yang saya rakam itu akan berjaya atau tidak, itu bukan kuasa saya. Sebaliknya saya berserah kepada rezeki kurniaan Tuhan. Sebagai manusia, saya hanya mampu menyanyikannya dengan sebaik mungkin manakala urusan masa depannya terserah kepada Yang Maha Esa,” katanya.