Terbaru yang hadir mewarnai persada seni tempatan adalah kumpulan GOT7 yang dianggotai oleh tujuh pemuda iaitu JB, Mark, Jr., Jackson, Youngjae, BamBam dan Yugyeom. Kumpulan yang bernaung di bawah pengurusan JYP Entertainment itu baru setahun bergelar artis kerana kumpulan itu ditubuhkan pada 16 Januari 2014.

Namun dalam tempoh setahun itu, GOT7 yang tampil dengan album pertama, Identify, pantas melakar nama di persada seni bukan sahaja di negara mereka, malah di peringkat antarabangsa. Mereka juga telah berjaya merangkul Artis Baharu Terbaik di Golden Disk Awards, baru-baru ini.

Perjalanan seni yang diraih oleh kumpulan GOT7 ternyata berbeza jika dibandingkan dengan artis tanah air kerana dalam tempoh sesingkat itu belum pasti nama mereka dikenali oleh peminat tempatan. Walau bagaimanapun setiap orang yang terbabit dalam bidang seni ada habuan masing-masing, ada yang tidak perlu tunggu lama untuk berjaya dan tidak kurang juga yang mengambil masa bertahun untuk dikenali.

Meskipun GOT7 boleh disenaraikan sebagai antara artis baharu yang bertuah, namun mereka tidak mudah lupa pada bumi yang dipijak. Kumpulan yang pernah bertandang ke sini bagi menjayakan penggambaran muzik video lagu A pada 9 Jun tahun lalu di sekitar Shah Alam dan Damansara, tidak putus mengucapkan terima kasih kepada penonton sewaktu sesi pertemuan dengan peminat di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur, 21 Mac lalu.

“Sesungguhnya kami gembira dapat kembali lagi ke sini. Sewaktu kami datang ke sini pada tahun lalu untuk penggambaran muzik video, ramai peminat sentiasa mengikut ke mana saja kami pergi. Kami rasa sangat terharu dengan sokongan mereka.

“Pengalaman menjalani penggambaran di sini sangat menyeronokkan walaupun cuaca ketika itu sangat panas. Namun, semua itu bukan halangan kerana kami sentiasa bersemangat sebab peminat turut berada di set lokasi melalui pengalaman itu bersama kami.

“Seperti orang lain, kami juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati pelbagai makanan Malaysia yang sedap. Bila dapat tahu kami akan datang lagi ke Malaysia, tiada lain dalam fikiran kami selain mahu menikmati makanan di sini lagi,” cerita BamBam yang berasal dari Thailand.

Selain BamBam, dua lagi anggota GOT7 yang bukan berasal dari Korea Selatan ialah Mark, dari Amerika Syarikat serta Jackson dari Hong Kong dan kedatangan mereka ke sini adalah bagi menjayakan acara bertemu peminat secara rasmi yang dibawa khas oleh penganjur Erama Creative Sdn. Bhd. Pada pertemuan dengan para peminat dapat dilihat anggota GOT7 amat berhati-hati kerana mungkin mereka sudah tahu apa yang berlaku pada kumpulan B1A4 sebelum ini di mana video anggota kumpulan itu berpeluk dengan peminat menjadi viral dan bicara di laman sosial.

Biarpun tanpa adegan ‘peluk’ seperti mana yang sering kita tonton di kaca televisyen tatkala artis Korea bertemu peminat, acara yang berlangsung selama sejam lebih itu tetap menghiburkan. Mana taknya, setiap anggota GOT7 mempunyai gelagat yang tersendiri.

Paling ketara yang berjaya membuat peminat ketawa dan menjerit kuat ialah Jackson dan BamBam. Jackson cukup dikenali kerana kemunculannya dalam program Roomate yang disiarkan di saluran One HD (393). Bagaimana kita melihat gelagatnya dalam program itu, begitu jugalah aksi Jackson di pentas kerana dia dengan selamba akan membuat lawak dan mengusik rakan-rakan lain.

Selain menghibur kira-kira 1,500 penonton yang hadir dengan barisan lagu seperti Stop Stop It, Gimme, Moonlight, Forever Young, A, Girls Girls Girls dan Bounce, anggota GOT7 turut mempamerkan aksi menari tarian zapin. Memang kelakar melihat gaya tarian mereka, namun masing-masing sedaya upaya cuba menarikan tarian yang cukup sinonim dengan masyarakat Johor itu.

Jackson juga turut dikejutkan dengan sebiji kek sempena sambutan hari lahirnya yang ke-21 yang kebetulan jatuh pada 28 Mac lalu.

Dalam pada itu, Pengurus Promosi dan Acara, Erama Creative Sdn Bhd., Nurkhalisa Md. Afendi, berkata, pihak mereka amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberi oleh kumpulan tersebut.

Katanya, sebelum pihak mereka menyenaraikan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sewaktu persembahan, anggota GOT7 sudah sedia maklum.

Katanya, kumpulan GOT7 itu terlebih dahulu memberitahu yang mereka faham akan peraturan dan menghormati agama Islam.

“Pihak kami tidak perlu memberi penjelasan lanjut tentang peraturan atas pentas kerana mereka sedia maklum. Kesemua anggota GOT7 memang gembira bila dapat mengadakan persembahan di sini kerana mereka tidak jangka begitu ramai peminat yang mengenali mereka.

“Ini adalah kali kedua kedatangan mereka ke sini. Sebelum ini kami tidak uar-uarkan secara rasmi kedatangan GOT7 ke sini bagi menjalani penggambaran klip video. Besar kemungkinan kumpulan GOT7 akan datang lagi ke sini kerana teruja dengan sambutan yang diberi oleh peminat tempatan,” jelas Nurkhalisa tentang kerjasama erat Erama Creative dengan GOT7.

Pemilihan GOT7 ke sini adalah sebagai satu usaha untuk memberi inspirasi kepada anak muda tempatan agar mampu berjaya seperti mereka.

“Rata-rata anggota GOT7 berumur antara 18 hingga 21. Dalam usia semuda itu mereka berjaya melakar nama di pentas antarabangsa. Kami mahu penonton mengambil semangat mereka untuk berjaya selain daripada berhibur dengan persembahan GOT7,” katanya.