Bagi Tania atau nama sebenarnya, Tania Nadira Hudson, dia tambah gementar kerana ini adalah lakonan pertamanya sebagai heroin dalam filem. Menerusi filem-filemnya sebelum ini, dia hanya membawakan watak-watak kecil sahaja.

“Ini adalah filem pertama yang saya diberikan karakter khusus untuk dibawakan di samping teraju utama. Sebab itu saya akui agak gementar apatah lagi sudah lama tidak terlibat dengan penggambaran.

“Tetapi saya bernasib baik kerana digandingkan dengan pelawak-pelawak yang mampu mengurangkan rasa gemuruh ketika berlakon,” katanya yang sudah melakukan sebaik mungkin bagi menjayakan watak tersebut.

Dalam pada itu, menerusi filem Abang Long Fadil 2 yang bakal ditayangkan pada 24 Ogos ini, Tania juga menjadi satu-satunya pelakon wanita yang kekal dari mula hingga ke akhir filem.

Sudah pasti, menjadi wanita tunggal dikeliling pelakon lelaki lain, setiap gerak geri lakonan adik kepada pelakon, Natasha Hudson ini akan diperhatikan dan dia sedia untuk dikritik.

“Saya sentiasa terbuka untuk menerima kritikan terhadap lakonan. Lagipun saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk membawakan watak Yana. Sebab itu saya tidak kisah.

“Selagi saya masih berlakon, selagi itu saya akan belajar. Bagi saya, bagusnya seseorang itu dalam dunia lakonan bukan kerana dia baharu atau sudah lama dalam industri seni,” katanya.

Tambah Tania, kadang-kadang ada pelakon yang baru pertama kali membawakan watak pun sudah mampu menyerlah berbanding dengan orang yang lebih berpengalaman.

Sebab itu dia tidak mahu lekas melatah dengan sebarang kritikan yang dilemparkan sebaliknya bersedia dan terbuka untuk mendengar komen serta memperbaiki lagi mutu lakonannya.

Selain Zizan, Tania turut bergandingan dengan Achey dan Wak Doyok yang baru pertama kali terlibat dengan penggambaran filem.

Dalam pada itu, gadis yang pernah menjalani pembedahan otak sekitar 2008 mengakui kesihatannya sudah baik dan pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah, sudah beberapa tahun selepas menjalani rawatan, saya kini sudah pulih sepenuhnya tetapi tetap berjaga-jaga dan menjaga kesihatan sebab khuatir jika terkena penyakit dan sebagainya.

“Lagipun bagi saya jaga kesihatan ini bukan sebab kita sakit sahaja sebaliknya untuk terus kekal sihat itu adalah tujuan utama untuk kita jaga pemakanan, jaga tidur dan lain-lain,” jelasnya.