Jika tujuh tahun lalu dia mengundurkan diri seketika dalam dunia penuh glamor dek faktor kesihatan yang tak mengizinkan. Kini dia sudah pulih dan merasakan seolah-olah seperti dilahirkan semula ke dunia.

Atas dasar itu, semangatnya seperti telah disuntik menjadikan dia makin teruja untuk terus berkarya demi bidang yang perlahan-lahan dicintainya.

“Jujurnya, saya tidak pernah terfikir nak berlakon atau akan bergelar pelakon. Sebelum jadi pelakon saya terlebih dahulu menceburi bidang peragaan dan pernah jadi gadis penghias kulit untuk salah sebuah majalah remaja popular. Ketika itu saya baru berusia 18 tahun.

“Kakak (Natasha Hudson) yang banyak beri dorongan untuk saya berjinak dalam bidang seni. Saya seorang yang sangat pemalu. Karakter saya amat berbeza antara kami berdua.

“Saya dapat bina semula keyakinan diri dan lebih berani berhadapan dengan semua orang. Itulah kelebihannya bila libatkan diri dalam industri seni kreatif,” kongsinya.

Berterima kasih kepada pengarah muda, Syafiq Yusof yang mempercayai bakatnya untuk menjadi salah seorang barisan pelakon filem pecah panggung itu.

Bertitik tolak daripada itu juga, Tania turut dipelawa untuk menjadi sebahagian daripada produksi dalam naskhah terbaharu Syafiq iaitu KL Special Force yang disifatkan penuh aksi mendebarkan.

“Ini merupakan filem kedua saya dengan Skop Production jadi saya memang tak akan tolak peluang lakonan bawah produksi ini. Keselesaan berlakon dalam Abang Long Fadil 2 buatkan saya seronok untuk bekerjasama sekali lagi.

“Saya tidak kisah ditawarkan watak sampingan atau besar sebab karya mereka memang sangat bagus. Sayanglah, kalau saya tak ambil tawaran itu memandangkan filem dulu dapat sambutan hangat dari penonton,” katanya yang memegang watak sebagai Mia.

Berkongsi cabaran yang perlu dia lalui sepanjang lebih tiga bulan penggambaran, wanita berusia 33 tahun itu amat teruja apabila perlu berhadapan dengan bahan letupan.

“Dalam filem ini kebanyakan adegan aksi dilakonkan sendiri oleh para pelakon. Badan saya diletakkan mercun dan banyak letupan berlaku waktu adegan tersebut. Ia satu pengalaman mengujakan sebab selama ini tak pernah membayangkan.

“Ada juga babak berlari daripada letupan hingga menyebabkan badan saya calar-balar kerana terkena serpihan letupan.

“Filem ini penuh dengan aksi dan pasti memberikan pengalaman berbeza buat penonton. Cara aksinya juga berbeza tak sama dengan cerita kepolisan seperti Gerak Khas,” kongsinya.

Antara barisan pelakon KL Special Force yang akan ditayangkan pada 8 Mac depan ialah ialah Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Fattah Amin, Mustaqim Bahadon, Mahmud Ali Bashah dan Ramona Zamzam.

 

Bukan anak emas Skop Productions

Lakonan Tania yang sedang ditayangkan di Astro Oasis, Sejadah Untuk Dia juga merupakan produksi milik Skop Productions.

Kata Tania, dia bukan memilih untuk berlakon bawah produksi itu selama-lamanya namun dek tawaran yang hadir lebih awal, dia menerimanya.

Mungkin hanyalah kebetulan, Tania bebas untuk memilih berlakon bawah rumah produksi yang ada.

“Cuma mungkin rezeki yang datang itu banyak dengan Skop, orang anggap saya anak emas pula.

“Sebenarnya tidak. Seperti yang saya katakan, Skop memang produksi yang dah kukuh dan dikenali. Jadi saya rasa sangat yakin setiap karya yang dihasilkan amat bagus.

“Ini adalah kemunculan semula saya dalam industri. Mana-mana produksi yang bagi tawaran dan watak itu sesuai dan saya boleh bawa, kenapa tidak saya terima?” jelasnya.

Ujar Tania lagi, meskipun seni lakonannya sudah lama berakar namun dia masih lagi mengumpul pengalaman dan ilmu baharu agar dapat bertahan lama dalam industri.

“Masih banyak perkara yang perlu saya timba dan belajar. Jadi dengan cara itulah saya mampu menambah baik ilmu pengetahuan.

“Saya tak hanya berlakon bawah produksi Skop sahaja. Saya bukan hak milik Skop.

“Sekarang ni Skop dah banyak menghasilkan drama-drama selain dari Gerak Khas. Ingin saya tegaskan di sini, saya okey sahaja berlakon dengan mana-mana produksi dan terbuka seandainya tawaran itu sesuai untuk saya,” akhirinya.