Tujuh tahun lalu, ia adalah satu episod yang mendukacitakan buat Tania Hudson yang menyaksikan bagaimana pelakon ini terpaksa melupakan seketika cintanya pada dunia lakonan.

Meski kini telah sepenuhnya pulih selepas menjalani rawatan intensif, Tania tahu, sukar untuk dirinya membuang persepsi tak cuma pada orang seni, tetapi masyarakat keseluruhannya yang barangkali masih belum benar-benar percaya bahawa dirinya sudah sihat.

Hal itu ditekankan dengan keadaan fizikalnya yang masih kurus, memperlihatkan berat badannya yang seakan-akan susut mendadak. Kebetulan, tona suaranya agak sedikit lemah waktu ditemui Pancaindera tempoh hari, kepenatan mungkin.

Masih mampu mengukir senyuman, Tania lekas-lekas menolak andaian sakit itu dan menganggap semua itu tiada kaitan. Paling penting, Tania pantang kalau orang mudah memberi rasa simpati padanya.

“Peristiwa itu sudah terlalu lama untuk diulang sebut kerana saya dah sihat pun sekarang ni. Bukan tak mahu bercakap, tetapi saya kurang gemar apabila orang jatuh simpati pada saya kerana perkongsian mengenai hal itu bukanlah tujuannya untuk meraih perhatian atau rasa kasihan orang.

“Saya tahu, mungkin di luar sana ada yang risau dengan keadaan saya cuma mereka tak berani nak cakap depan-depan dan sering bermain dengan spekulasi mereka sahaja,”katanya.

Mengaku sakit yang dialami bukan main-main, kata Tania, andai tidak berserah sepenuhnya kepada Allah SWT, barangkali dia sendiri sudah tidak mengenal apa itu nilai survival untuk terus hidup.

“Tak dinafikan, ada orang, jika berada di tempat saya waktu itu mungkin sudah lama putus asa untuk hidup. Apalagi kalau melihat angka usia makin meningkat dari tahun ke tahun,

“Terasa ruang waktu juga semakin singkat untuk buat apa sahaja. Bila dah tak ada semangat, nak buat apa pun tak mahu, jadi lemah. Saya akui pernah merasai keadaan itu namun saya patahkan rasa itu dengan satu pandangan yang lebih kuat.

“Selagi diri boleh bercakap, boleh berjalan dan bergerak dan tidak lumpuh, saya tak patut membiarkan diri dibelenggu kemurungan. Saya tahu saya kena bangun dan tak boleh patah semangat!”katanya.

Berkongsi mengenai sumber kekuatannya untuk terus berjuang untuk hidup, kata wanita berusia 32 tahun ini, dia tahu, berdepan dengan situasi penyakit yang serius tiada lain yang akan terbuku di hati kecuali merasakan diri seakan-akan tidak lagi berguna.

“Ketika masih muda inilah saya patut buat apa sahaja yang ingin dilakukan. Saya tak mahu bila sampai satu masa nanti, saya hanya boleh katakan ‘oh kenapalah saya tak buat benda tu dulu’

“Berada dalam satu ruang penyesalan di masa depan adalah lebih sakit daripada berdepan dengan penyakit. Jatuh macam mana sekali pun, sekurang-kurangnya saya tahu saya dah cuba. Itulah apa yang saya rasa sekarang.

“Saya kena terus mencuba. Jadi atau tidak, dikatakan masih laku atau tidak, berjaya atau tidak, tak kisahlah. Saya akan teruskan juga melangkah, dalam hidup dan dalam kerjaya saya sebagai pelakon.

“Tak adalah nanti 10 tahun akan datang, saya meratap menyesal hanya kerana saya tak ada usaha langsung untuk mencuba memperbaiki kerjaya saya semula yang orang lihat bagai sekejap ada, sekejap tak ada. Inilah yang menjadi penguat semangat saya,”katanya.

Peluang kedua

Tidak pernah berharap agar peminat atau masyarakat menjadikan dirinya sebagai inspirasi, jauh sekali sebagai idola atau ikon, Tania cuma mahu agar perkongsiannya ini mampu memberi nilai positif buat mereka yang barangkali pernah berada dalam situasi lebih kurang sama.

“Janganlah cepat lemah kerana saya faham, adakalanya kita akan terasa semuanya bagaikan sudah terlambat sedangkan sebenarnya tiada istilah terlambat pun.

“Masih dikurniakan Allah SWT untuk terus bernafas dan hidup, ia bagaikan sebuah peluang kedua dan sebagai manusia biasa, peluklah semua kurniaan itu dengan sebaiknya kerana Dia Maha Mengetahui.

“Lihat pakar motivasi antarabangsa, Nick Vujicic, dia dilahirkan tidak mempunyai kaki dan tangan namun bagaimana kuatnya dia meneruskan hidup sehingga berjaya sekarang termasuk berkeluarga.

“Bayangkan, kalau dia boleh, tak akanlah saya tak boleh lakukan sedangkan saya mampu bergerak lagi. Pegangan prinsip saya cuma satu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,”katanya.

Bercakap mengenai peluang kedua, pelakon yang baru sahaja muncul dengan drama Cucu Tauke Beras dan Encik Suami Mat Salih Celup ini tidak menolak bahawa keutamaannya pada waktu ini adalah pada kerjaya.

Ya, mungkin kedengaran agak klise, namun kata Tania, tiada apa yang perlu diragukan kerana dia juga memulakan kerjaya seninya agak lambat berbanding kakaknya, Natasha Hudson yang kini telah berniqab.

Perjalanan seninya tidak begitu konsisten dek kerana sakit yang dialami sebelum ini dan kerana itu Tania tidak pelik andai ada yang menganggap dia bagai pendatang baharu.

“Dulu, saya tiada pilihan, kena memperlahankan karier lakonan saya kerana sakit dan tak boleh terlalu memaksa diri. Jadi sebab itulah adakalanya orang tengok saya macam aktif tak aktif.

“Kemudian pada hujung tahun 2015, Skop Production menawarkan saya untuk berlakon dalam filem Abang Long Fadhil 2. Saya tak fikir panjang dan ambil peluang itu dan anggap ia satu batu loncatan untuk saya mengembangkan semula kerjaya seni.

“Ternyata, rezeki saya melimpah dan sejak itu ada sahaja tawaran yang datang. Tiada apa yang saya boleh katakan selain bersyukur kerana masih ada lagi ruang untuk saya rupanya dalam industri ini,”katanya lagi.

Menyifatkan semuanya adalah sebuah perancangan yang baik daripada Allah SWT, Tania mengaku tidak mahu bermain-main dengan kerjaya lakonannya.

“Diberi peluang kedua seperti ini, saya anggap ia bagai satu kelahiran semula buat saya dalam industri. Tentu sekali harapan saya tinggi dan berharap mampu mengekalkan momentum yang baik demi kerjaya ini,”katanya.

Sedar bahawa usianya bukan lagi 20-an, kata Tania, dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai persaingan dengan pendatang baharu lain kerana tahu akan ada rezeki buat masing-masing.

“Persaingan memang akan ada, terutama bila semakin ramai artis baharu yang cantik, muda dan berbakat. Tetapi macam saya katakan, jangan mudah putus asa, tak salah kalau saya berusaha lebih lagi selepas ini, rezeki sentiasa ada, InsyaAllah,”katanya penuh bersemangat.

Mana ada anak raja?

Dalam pada itu, sempat mengusik mengenai soal cinta, Tania cuma tersenyum sipu sambil membuka bicara bahawa tiada penghuni di hatinya buat masa ini.

Diusik lagi, mana tahu ada anak raja yang berkenan dengannya untuk dijadikan calon isteri, Tania sempat ketawa kecil.

“Mana ada anak raja. Selalu sangat dah saya terkena dengan soalan macam ini, kelakarlah. Tak ada pun.. tiada anak raja, orang biasa pun tak ada.

“Jangan risau, saya tak pernah sorok-sorok pun hal mengenai cinta ni, Usia saya pun bukannya masih muda dan secara logiknya saya pun mestilah teringin juga nak berumahtangga seperti mana wanita lain.

“Tapi nak buat macam mana, jodoh belum sampai. Saya tak fikir apa pun sekarang ni kecuali nak fokus pada kerjaya. Kalau Tuhan nak berikan saya jodoh dalam tempoh itu, saya tak menolak.

“Kalau ada, Alhamdulillah... saya harap semua doakan saya juga ya!”katanya.