Justeru untuk memastikan diri dikenali, pelbagai usaha dilakukan oleh penyanyi dan pihak pengurusan artis demi memastikan ada ruang untuk bakat-bakat baharu ini mempamerkan kemampuan diri.

Jika sesetengah penyanyi baharu memilih gimik sebagai cara untuk memperkenal lagu dan diri, Sarah Suhairi pula menolak untuk mengikut rentak yang sama.

Bagi penyanyi lagu Nyawa dan Raga ini, dia lebih senang melalui proses yang sama dilakukan oleh artis lain.

“Saya dan pihak pengurusan tidak merancang untuk melakukan gimik. Rasanya kami lebih selesa melalui proses promosi seperti biasa bagi memperkenal lagu ini.

“Tetapi bukanlah melakukan sesuatu gimik itu tidak baik cuma bagi saya perlu berpada-pada.

“Dalam soal ini, saya lebih pentingkan tanggapan pertama khalayak terhadap diri saya. Saya tak mahulah orang label saya sebagai artis baharu yang mesti ada gimik,” katanya.

Bergelar seorang selebriti pada usia muda tidak dinafikan menjadi impian ramai, namun dengan perhatian yang diberikan sedikit sebanyak memberi kejutan budaya kepada sesetengah anak muda yang tidak pernah merasainya.

Melihat soal ini dari sudut positif dan sebagai manusia biasa, Sarah tidak menolak andai suatu hari nanti dia juga melakukan kesilapan.

Bagaimanapun, tegasnya, dia tidak mahu menjadikan usia sebagai halangan untuknya mencapai impian untuk bergelar seorang penyanyi popular.

“Sebagai manusia kita tidak akan lari daripada melakukan kesilapan, tetapi berada dalam industri penuh cabaran ini, kita kena tahu dan sentiasa bersedia dengan orang luar yang selalu mahu mencuba mencari kesilapan kita.

“Bagi saya, dalam soal ini tidak dinafikan cabaran untuk bergelar penyanyi muda bukan perkara mudah. Saya akan tetap mendengar kritikan untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Namun yang akan diterapkan dalam minda adalah untuk sentiasa dikelilingi mereka yang yakin dengan kemampuan saya selain berada di belakang saya memberi sokongan.

“Sebab mulut manusia tidak akan boleh ditutup untuk terus melontarkan kata-kata negatif dan kerana itu saya kena banyak bersabar dan berusaha membuktikan bakat,” katanya.

Mempunyai kelompok peminat sendiri, Sarah sentiasa bersyukur kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Bagaimanapun penyanyi lagu Pedih ini menyedari, peminat fanatik seseorang artis juga mampu mewujudkan keadaan tidak selesa antara artis pilihan mereka dengan artis lain.

“Tidak dinafikan perkara seumpama itu wujud dan dalam perkara ini saya sentiasa berharap agar peminat sentiasa menghormati ruang artis lain juga. Tidak perlu mengecam antara satu sama lain sebab masing-masing ada bakat tersendiri.

“Saya harap peminat juga tahu yang setiap penyanyi itu mempunyai kelebihan sendiri dan tidak perlu sebenarnya bergaduh dengan peminat penyanyi lain untuk memberi sokongan. Yang penting adalah memberi ruang kepada setiap penyanyi untuk menunjukkan kebolehan masing-masing,” pintanya.

Sambung belajar

SENTIASA meletakkan pelajaran sebagai asas kepada kejayaan, sehingga kini Sarah tidak pernah melupakan impian untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Walaupun terpaksa menolak tawaran menyambung pelajaran ke sebuah universiti sebelum ini, namun kata Sarah, dia akan membincangkan semula hal berkaitan dengan keluarganya.

“Saya tetap mencari peluang untuk menyambung pengajian yang tertangguh sebelum ini dan sudah memberitahu keluarga mengenainya.

“Kalau boleh saya mahu menimba ilmu dalam jurusan seni kerana selain mahu jadi penyanyi, saya juga bercita-cita ingin menerbitkan lagu suatu hari nanti,” jelasnya.

Bercakap mengenai kemampuannya menyanyi rap dalam lagu terkini, Nyawa dan Raga, Sarah akui, dia sebenarnya memasang impian bergelar penyanyi rap wanita bertudung pertama di Malaysia.

“Saya memang suka menyanyikan lagu rap dan melihat kelebihan itu sebagai satu peluang untuk saya bergelar penyanyi wanita bertudung di negara ini .

“Walaupun dalam lagu Nyawa dan Raga saya hanya menyanyikan sedikit sahaja pada bahagian rap, namun saya lihat ini sebagai peluang untuk saya mevariasikan bakat selain berharap dapat menghasilkan dan menyanyikan lagu-lagu rap suatu hari nanti,” jelasnya.

Dayang Nurfaizah sumber inspirasi

PADA awal kemunculannya, nama Sarah Suhairi sering dikaitkan dengan penyanyi popular Dayang Nurfaizah.

Biarpun berbesar hati dengan pujian tersebut, namun akui Sarah, sebagai penyanyi baharu masih terlalu jauh untuk dirinya dibandingkan dengan penyanyi kesayangan ramai itu.

“Kalau dengar betul-betul, kami mempunyai nada suara yang berbeza. Memang saya menjadikan Dayang sebagai sumber inspirasi, tetapi saya tidak mahu menjadi seorang peniru kerana saya yakin dengan kemampuan saya.

“Kami tidak akan berada pada tahap yang sama memandangkan Dayang lebih berpengalaman dalam industri malah siapalah saya mahu dibandingkan dengan dirinya?” kata penyanyi itu.

Malah biar memenangi pentas Big Stage tempoh hari, Sarah beranggapan, kejuaraan itu bukan jalan pintas buatnya untuk memastikan nama dikenali tanpa perlu bekerja keras.

Tidak menafikan kelebihan bergelar juara, namun Sarah percaya, dia juga perlu merangka kerjaya seninya yang masih hijau ini dengan baik.

“Memang kemenangan dalam program Big Stage sebenarnya banyak membantu karier saya yang baru bermula ini. Bagaimanapun saya masih perlu berusaha keras untuk memastikan momentum itu berterusan.

“Sebab itu saya juga sebenarnya masih melakukan pelbagai eksperimen dalam mencari genre yang sesuai dengan diri dan suara.

“Walaupun ada yang suka saya menyanyikan lagu balada, namun pada masa sama saya akan terus mencuba genre berbeza juga,” katanya.

Selain bidang nyanyian, nama Sarah kini juga diintai penerbit dalam bidang lakonan.

Tidak menolak rezeki yang datang dalam bidang tersebut, namun bagi Sarah, ketika ini dia mahu memastikan kerjaya nyanyian diutamakan terlebih dahulu.

“Memang saya dapat tawaran berlakon dan saya juga sudah berlakon untuk sebuah drama bersiri.

“Pengalaman yang menyeronokkan sebenarnya berada di set penggambaran malah saya tidak menolak untuk kekal dalam bidang lakonan suatu hari nanti.

“Cuma dalam tempoh ini saya lebih senang memberikan perhatian kepada bidang muzik dahulu. Jika tawaran itu tidak mengganggu jadual nyanyian rasanya tiada masalah.

“Tetapi seperti yang saya katakan, pada waktu ini saya mahu dikenali sebagai penyanyi dahulu,” katanya lagi.